Pelaksanaan PdPR perlu transformasi menyeluruh pendidikan


MINGGU ini telah memasuki minggu kedua anak-anak sekali lagi melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semenjak PKP 3.0 dilaksanakan.

Pelbagai permasalahan telah mula dihadapi oleh anak-anak dan ibubapa yang terpaksa mengendalikan anak-anak mereka melalui PdPR. 

Dari masalah tidak cukup peranti, tiada talian, tiada ruang belajar yang sesuai, kebosanan dan kurang tumpuan dalam kalangan anak-anak dan seumpamanya telah memberi tekanan kepada guru, ibubapa dan anak-anak. 

Apatah lagi bila memikirkan yang PdPR ini dijangka akan diteruskan sehingga bulan September mengikut jangkamasa rangka kerja Pelan Pemulihan Kerajaan yang diumumkan tanpa sebarang strategi pemulihan sebenarnya. 

Kisah pelajar SPM 2021, Siti A’isyah Mohd Idris, 17, pelajar aliran sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein yang terlibat di dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rantau Panjang Selama, ketika menunggang motosikal ke rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik adalah amat menyayat hati.  

Tidak cukup dengan itu, kita juga dikejutkan dengan insiden pemberian telefon percuma daripada inisiatif jaringan pihak kerajaan dengan syarikat swasta, yang terbakar dalam sesi PdPR melibatkan pelajar tahun 3 yang berumur 9 tahun, juga perlu perhatian serius dari pihak kerajaan.

Dikatakan telefon yang diterima sebagai subsidi itu mempunyai spesifikasinya yang rendah dan tiada ciri-ciri keselamatan untuk kegunaan pelajar. 

DidikTV pula yang merupakan saluran khusus TV Pendidikan yang dibuat oleh KPM sebagai wadah yang baik untuk PdPR, juga masih bermasalah dengan kekeliruan jadual siaran dan juga tiada pembelajaran secara dua hala.  

Pejuanita Parti Pejuang Tanahair melahirkan rasa kebimbangan yang amat sangat ke atas masa depan generasi anak-anak yang terpaksa melalui kepincangan sistem Pendidikan Negara sekarang ini. 

Mereka telah dua tahun terkebelakang dan ketinggalan di dalam pembelajaran sejak wabak Covid-19 melanda. 

Masalah berkaitan pelaksanaan PdPR sekarang ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pihak kerajaan hari ini cekap dan mengambil tindakan yang lebih proaktif.

Kita memperkatakan norma baru dalam pendidikan namun pelaksanaannya masih dengan prinsip pendidikan yang lama dengan hanya menggunakan teknologi semasa. 

Pejuanita menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya memberi perhatian serius ke atas apa yang sedang berlaku kepada sistem pendidikan anak-anak di Malaysia termasuk pendidikan pra sekolah. 

Sistem pendidikan Negara memerlukan kepada satu transformasi yang menyeluruh dalam menghadapi perubahan norma baru dengan pendekatan baru dan melihat pendidikan dari sudut pandang pembangunan insan dalam membina generasi yang mempunyai daya tahan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran global pada masa hadapan. 

Keupayaan teknologi perlu dimaksimumkan sebagai alat penyampai pembelajaran digital dengan meletakkan pembangunan murid menjadi insan yang berguna dengan nilai-nilai kemanusiaan yang baik, seimbang dari sudut keupayaan akademik, kestabilan emosi dan pembangunan kerohaniannya sebagai matlamat utama.

Pandemik Covid-19 memberi peluang kepada negara membuat satu ‘reset’ secara keseluruhan kepada sistem pendidikan negara dengan meletakkan mereka yang berintegriti dan kompeten menerajui bidang ini. 

Pengalaman dari usahawan pendidikan swasta juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam merangka pembangunan sistem pendidikan yang baik untuk generasi masa depan negara. 

Sistem pendidikan negara negara membangun yang lain seperti dari negara Scandinavian perlu diambil sebagai rujukan agar Malaysia tidak terus ketinggalan. 

Selain dari guru, ibubapa juga perlu didedahkan dengan ilmu keibubapaan yang bersesuaian dengan keperluan untuk mendidik anak-anak mereka untuk hidup di zaman akan datang. – 22 Jun, 2021.

* Che Asmah Ibrahim, ketua penaja Wanita Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen