.jpg)
BANYAK yang diperkatakan mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen selepas keluarnya kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad, pada 16 Jun lalu.
Ramai dalam kalangan rakyat jelata yang memuji Agong dan Raja-Raja Melayu atas keprihatinan terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 di negara ini seperti terzahir dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada tarikh tersebut.
Kenyataan media tersebut juga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik, ahli akademik, peguam dan masyarakat umum, khususnya yang berhubung dengan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos.
Menyusulinya adalah pandangan sesetengah pihak dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari, 2021 maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.
Kononnya termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Ini dikatakan termaktub dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda.
Dihujahkan juga dalam tempoh Darurat berkuatkuasa Agong boleh melaksanakan kuasa prerogatif Baginda untuk menggubal Ordinan Darurat bagi menggantung Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Baginda menerima dan bertindak mengikut nasihat jika nasihat baginda tidak dipatuhi oleh jemaah menteri.
Namun, kita perlu bersyukur kerana masih ada di negara kita ini tokoh perundangan seperti mantan ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad, penyandang kerusi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Dr Shamrahayu A Aziz, dan mantan peguam negara Mohamed Apandi Ali, yang bersuara membetulkan keadaan.
Waspada
Segera diingatkan Tun Abdul Hamid dan Dr Shamrahayu supaya Agong dan Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi ini untuk melakukan perkara yang di luar bidang kuasa baginda semua.
Dijelaskan oleh mereka berdua baginda semua perlu senantiasa waspada mereka adalah Raja Berperlembagaan. Sebagai Raja Berperlembagaan, Agong khususnya hendaklah menerima nasihat perdana menteri, jemaah menteri dan peguam negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda.
Satu fakta yang jelas, mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan penasihat undang-undang kepada Agong adalah peguam negara. Baginda akan berdepan dengan kesukaran jika membelakangkan nasihat peguam negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, walaupun jika mereka ini adalah pakar Perlembagaan sekalipun.
Walaupun kuasa untuk membuat Proklamasi Darurat dan memasyhurkan ordinan darurat diberikan kepada Agong, ia tidak mengubah kedudukan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan.
Nasihat jemaah menteri
Perkara ini dijelaskan dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di mana mahkamah memutuskan: “Undang-undang darurat yang memindahkan kuasa perundangan dari Parlimen ke Yang di-Pertuan Agong tidak menjejaskan kedudukan baginda sebagai Raja Berperlembagaan, terikat dengan Perlembagaan untuk bertindak pada setiap masa atas nasihat jemaah menteri.”
Bukan niat Perlembagaan untuk memberikan kuasa tanpa had kepada Agong semasa darurat. Jika ini berlaku ia akan meletakkan institusi Agong dalam keadaan yang boleh mendedahkannya kepada pertikaian.
Dalam hal mengenai pengisytiharan darurat, soal mengenai “puas hati” baginda tidak boleh dicabar di mahkamah. Begitupun, keputusan Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membuat pengisytiharan Darurat dibenarkan pula untuk dicabar di mahkamah.
Ini bermakna di sini ada penampan (‘buffer’) untuk melindungi baginda daripada pertikaian jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh baginda.
Jika Agong membuat keputusan sendiri dalam hal urusan pentadbiran harian kerajaan maka pihak yang akan dicabar ialah baginda sendiri. Ini sudah semestinya akan merendahkan institusi Yang di-Pertuan Agong sekali gus ini menyebabkan Perlembagaan menghadkan kuasa budi bicara baginda kepada beberapa perkara yang tertentu sahaja.
Apabila kuasa eksekutif dijalankan oleh jemaah menteri, jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusannya maka jemaah menteri bukan saja boleh dicabar di mahkamah tetapi juga di peti undi.
Niat, semangat dan apa yang terzahir dalam Perlembagaan ini telah elok dan cantik serta tidak perlu dirosakkan dengan tafsiran pelik.
Tafsiran pelik
Pihak yang mengemukakan tafsiran pelik begini, termasuk Agong boleh menggantung mana-mana peruntukan Perlembagaan dalam tempoh darurat, sebenarnya meletakkan institusi dalam situasi bahaya dengan tafsiran salah. Tidak ada mana-mana peruntukan Perlembagaan yang memberikan kuasa sebegitu kepada baginda.
Tujuan penggantungan Parlimen dibuat hanyalah untuk memudahkan Ordinan Darurat yang diperlukan untuk mengurus pandemik Covid-19 diluluskan dengan segera tanpa perlu melalui proses Parlimen yang panjang, itu saja, bukan untuk memberi kuasa kepada Agong bertindak secara sendiri tanpa mengikut nasihat jemaah menteri.
Kalau ditafsirkan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam tempoh Darurat, termasuk untuk memanggil Parlimen bersidang, maka apa akan jadi dengan peruntukan Ordinan Darurat yang menyatakan kuasa eksekutif Persekutuan kekal dijalankan oleh jemaah menteri yang ada pada tarikh darurat diisytiharkan hingga tamat?
Kalau tafsiran Agong mempunyai kuasa mutlak untuk memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh darurat diguna pakai maka pastilah tafsiran baginda juga mempunyai kuasa mutlak membubarkan Parlimen turut perlu diguna pakai kerana soal pembubaran Parlimen turut terkandung dalam peruntukan Ordinan Darurat yang sama.
Merungkai kekusutan
Untuk merungkai kekusutan yang timbul, ada baiknya kita merenung kembali Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu pada 4 Julai, 1992. Walaupun semua Raja-Raja Melayu yang menandatanganinya sudah mangkat, Sultan Nazrin Shah yang turut hadir masih ada dan rekodnya juga ada.
Dalam Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan ini, Raja-Raja Melayu menzahirkan “Kita akan bertindak atas nasihat” dan “Kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri”.
Selaras dengan itu, lebih bijaksana untuk pihak istana tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi. Kenyataan seperti persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin menimbulkan banyak polemik kerana ini hal politik. Jika yang tidak bersetuju bersuara pastilah ia akan mendedahkan institusi diraja kepada kritikan.
Bukannya tidak boleh Raja-Raja Melayu menimbang teliti soal mengenai dasar negara atau mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri tetapi biarlah ia dilakukan secara tertib dan rasmi mengikut prosedur dan peruntukan Perlembagaan.
Perkara 38 (2) Perlembagaan menggariskan antara fungsi Majlis Raja-Raja adalah untuk: “Menimbang teliti soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.”
Pada masa sama, Perkara 38 (3) Perlembagaan juga menggariskan:
“Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh perdana menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua Negeri disertai oleh menteri besar atau ketua menteri mereka; dan penimbangtelitian itu antara fungsi dijalankan Agong mengikut nasihat jemaah menteri dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat kerajaan mereka.”
Kita yakin kerajaan tidak mempunyai niat untuk tidak akur dengan titah pandangan Agong dan Raja-Raja Melayu. Kita juga percaya baginda semua ikhlas dalam menzahirkan titah pandangan, cuma jika ia dilakukan secara tertib dan rasmi pastilah tiada pihak boleh menggunakannya untuk kepentingan sendiri. – 22 Jun, 2021.
* Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen