RAKYAT Kanada dan penduduk tetap (PR) yang lengkap menerima vaksin Covid-19, tidak perlu dikuarantin selepas pulang dari luar negara mulai 5 Julai ini.
Mereka juga tidak perlu melakukan ujian, seperti ditetapkan dalam fasa pertama kelonggaran sekatan kesihatan kepada pelancong.
Menteri Kesihatan Kanada Patty Hajdu pada sidang media mengakui kerajaan berdepan tekanan yang semakin meningkat supaya membuka kembali sempadannya.
“Kita menuju garis penamat. Mari kita selesaikan dengan kuat dan pastikan kita melindungi diri bersama-sama,” katanya.
Hajdu berkata pegawai Kementerian Kesihatan sentiasa memantau pandemik Covid-19 dan memberi amaran virus itu masih bahaya di seluruh dunia.
Menteri Keselamatan Awam Kanada Bill Blair berkata kerajaan menyedari pelbagai pihak mahu sempadan dibuka.
“Kita sedang berusaha ke arahnya, bila kita dapat meningkatkan tahap vaksinasi di kalangan penduduk dan menurunkan kes jangkitan harian, risiko berkaitan perjalanan antarabangsa akan berkurangan.”
Sehingga semalam, seramai 25 juta penduduk Kanada atau 66% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara tujuh juta yang lain mendapat vaksin sepenuhnya.
Kerajaan Kanada sebelum ini memberi nasihat kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting ke luar negara kerana ia meningkatkan risiko membawa masuk varian virus Covid-19.
Setakat ini, mereka masih melarang pelancong asing termasuk rakyat Amerika Syarikat memasuki negara itu walaupun sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Rakyat Kanada yang dapat menunjukkan bukti sudah menerima dua dos vaksin diluluskan iaitu Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson – sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ketibaan masih perlu menjalani ujian sebelum dan semasa ketibaan.
Mereka tidak perlu dikuarantin tiga hari di hotel dengan perbelanjaan sendiri sementara menunggu keputusan ujian atau harus menguji lagi setelah lapan hari. – AFP, 22 Jun, 2021.
Komen