Itali tidak pakai pelitup muka hujung bulan ini, kata menteri kesihatan


Menteri Kesihatan Roberto Speranza berkata pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka di beberapa daerah di Itali tidak lagi diwajibkan bermula 28 Jun ini. – Gambar EPA, 22 Jun, 2021.

ITALI, antara negara di Eropah paling teruk diserang pandemik Covid-19, tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka di beberapa daerah bermula 28 Jun ini, lapor AFP.

Keputusan itu diumumkan oleh menteri kesihatannya Roberto Speranza, malam tadi, berdasarkan peraturan klasifikasi zon jangkitan Covid-19 bagi daerah yang dikategorikan sebagai zon putih.

Pakar meramalkan seluruh Itali akan jatuh dalam kategori zon putih menjelang 28 Jun ini.

Jawatankuasa penasihat sains Itali bagaimanapun menasihati orang ramai yang menghadiri acara keramaian supaya bersedia membawa pelitup muka.

Semalam, Itali merekodkan 495 kes di seluruh negara dan 21 kematian.

Sejak pandemik Covid-19 dikesan di Itali pada awal tahun lepas, lebih 4.25 juta penduduknya dijangkiti sementara lebih 127,000 meninggal dunia.

Setakat ini, 30% penduduknya yang berumur lebih 12 tahun sudah disuntik vaksin iaitu lebih kurang 16 juta daripada keseluruhan 60 juta penduduk.

Lebih daripada 46 juta dos vaksin sudah diagihkan di Itali, kata laporan itu. – 22 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen