Pertemuan dengan Biden buka 'era baharu', kata Erdogan


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berbual bersama sejawat dari AS Joe Biden ketika hadir sidang kemuncak NATO di Belgium. – Gambar EPA, 22 Jun, 2021.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan berkata pertemuan pertama dengan rakan sejawat dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden membuka “era baharu” hubungan yang lebih membina.

Pertemuan itu diadakan di luar sidang kemuncak NATO minggu lalu, ketika hubungan Turki-AS berada pada tahap rendah.

Washington sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Ankara kerana membeli sistem pertahanan peluru berpandu Rusia serta mempersoalkan isu hak asasi manusia di bawah pemerintahan Erdogan.

Namun, pemimpin Turki itu berkata pertemuan dengan Biden juga bersetuju untuk kedua-dua pihak lebih terbuka berkomunikasi.

“Kita yakin membuka pintu ke era baharu yang didasarkan pada hubungan positif dan konstruktif dengan AS.

“Kita yakin ia juga akan memberi manfaat kepada negara selepas berbincang dengan Biden dan setuju untuk meningkatkan komunikasi dengan AS.

“Permintaan Turki ialah kedaulatan ekonomi dan politiknya dihormati di setiap bidang,” katanya.

Erdogan berkata Ankara kesal dengan sokongan AS terhadap militan Kurdish di Syria dan Biden tidak banyak bercakap mengenainya dalam pertemuan itu.

Penasihat Keselamatan AS Jake Sullivan bagaimanapun berkata kedua-duanya pemimpin juga berbincang panjang lebar dan terperinci mengenai peranan Turki dalam menyelia keamanan lapangan terbang Kabul selepas AS selesai membawa balik pasukannya dari Afghanistan pada September ini.

“Kedua-dua presiden berkenaan bersetuju akan bekerjasama bagi memastikan apa yang dirancang berjalan lancar,” kata Sullivan kepada wartawan. – AFP, 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen