ProtectHealth, Selgate jalin kerjasama rancakkan program vaksinasi Covid-19


ProtectHealth, anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh KKM, akan mendaftar dan melatih 16 klinik milik SELGATE Healthcare Sdn Bhd serta lebih 1,200 klinik panel Selgate bagi merancakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terutamanya di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

PROTECTHEALTH Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan mendaftarkan dan melatih 16 klinik milik SELGATE Healthcare Sdn Bhd (Selgate) serta lebih 1,200 klinik panel Selgate bagi merancakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terutamanya di Selangor. 

Menurut kenyataan bersama oleh ProtectHealth dan Selgate, ProtectHealth akan menyediakan latihan kepada klinik di bawah Selgate bermula 23 Jun ini.

Latihan itu melibatkan polisi program imunisasi berkenaan, model vaksinasi, keperluan teknologi maklumat dan sistem, pengurusan rantai sejuk vaksin, pengendalian suntikan vaksin, pengurusan kesan sampingan vaksin, pemantauan pengurusan vaksinasi dan sebagainya.

“Proses pendaftaran dan beberapa siri latihan akan dikendalikan ProtectHealth secara berterusan bagi melibatkan sebanyak mungkin pengamal perubatan swasta bawah Selgate di Selangor untuk terlibat dalam program imunisasi itu bagi model pusat pemberian vaksin General Practitioners (PPVGP), pusat pemberian vaksin mega (PPV Mega) dan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) kelolaan ProtectHealth. 

Kerjasama strategik ini akan membolehkan pemindahan pengetahuan kepada Selgate untuk memulakan Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) menggunakan vaksin yang dibeli secara terus daripada Pharmaniaga Berhad,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, data penerima vaksin akan diselaraskan dengan aplikasi MySejahtera untuk memastikan tiada yang tertinggal daripada vaksinasi selain pelaporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan.

ProtectHealth adalah anak syarikat yang tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan dan diberi mandat untuk mendaftar, memberi latihan, memantau kualiti, membuat analisis dan pelaporan serta membuat pembayaran kepada semua pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam program imunisasi itu.

ProtectHealth juga telah dilantik untuk melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dalam program itu.

Selgate adalah anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang telah diberi mandat untuk melaksanakan SCVP sebagai langkah sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Bernama, 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen