Mount, Chilwell jalani kuarantin, belum pasti beraksi lawan Czech


Pemain England Ben Chilwell (dua dari kanan) dikuarantin selepas menjadi kontak rapat pemain Scotland Billy Gilmour yang disahkan positif Covid-19. Rakan sepasukannya Mason Mount turut dikuarantin. – Gambar EPA, 22 Jun, 2021.

DUA bintang bola sepak England Mason Mount dan Ben Chilwell menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat pemain Scotland Billy Gilmour yang disahkan positif Covid-19.

Mount dan Chilwell belum pasti dapat diturunkan pada aksi England menetang Republik Czech di Wembley awal pagi Selasa, kata pengurus pasukan.

Kesemua 26 pemain pasukan England menjalani ujian saringan dan keputusannya negatif, selepas Gilmour diumumkan positif pada Isnin.

Mount dan Chilwell dirakam berdiri bersebelahan dengan Gilmour selepas perlawanan England menentang Scotland di Wembley, Jumaat lepas.

Persatuan Bola Sepak England (FA) sedang berbincang dengan pihak berkuasa kesihatan sama ada Mount dan Chilwell akan beraksi melawan Republik Czech awal pagi Selasa.

Pemain pasukan England, Mason Mount. – Gambar EPA, 22 Jun, 2021.

“Kedua-dua pemain akan diasingkan daripada seluruh pasukan England sebagai langkah berjaga-jaga sementara perbincangan lanjut dengan Public Health England (PHE).

“Kami akan terus mematuhi semua protokol Covid-19, dan peraturan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA),” menurut kenyataan FA. Persatuan itu menambah, ia akan bekerjasama rapat dengan PHE.

Pengurus England Gareth Southgate ketika ditanya pemberita sama ada Mount dan Chilwell akan diturunkan pada perlawanan menentang Czech berkata beliau tidak pasti sama ada dua pemain terbabit akan disenaraikan untuk beraksi.

“Masih banyak perbincangan dan siasatan sedang dilakukan.

“Jadi buat masa ini mereka diasingkan dan kami perlu mmenyiasat dalam tempoh 12 jam,” kata Southgate. – AFP, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen