Wakil rakyat, kumpulan industri saran kenakan PKPD di Klang


Bernard Saw

Wakil rakyat dan kumpulan industri menyarankan PKPD dilaksanakan di Klang sebagai langkah berkesan membedung jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) wajar dilaksanakan di Klang, Selangor berbanding PKP penuh kerana ia lebih berkesan dan bersasar, kata kumpulan industri tempatan dan wakil rakyat.

Oleh kerana Klang merupakan bandar pelabuhan dan perindustrian utama negara, sejumlah besar kes Covid-19 dan kluster membabitkan tempat kerja dikesan di daerah itu sejak PKP penuh dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 1 Jun, tambah mereka. Dan kebanyakan kes jangkitan dikesan di kilang.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) Lim Kuang Sia memberitahu The Malaysian Insight, PKPD lebih berkesan bagi membendung penularan Covid-19 di Klang.

“PKPD lebih efektif dalam usaha membendung jangkitan. Merana sekejap lebih baik daripada menanggung kesan berpanjangan,” katanya.

PKPD juga perlu disekalikan dengan mempercepatkan pemberian vaksin supaya jangkitan terkawal selepas perintah tersebut tamat.

“Kalau tidak, PKP penuh ini akan berlarutan dan sektor tidak penting akan terus menanggung kerugian,” ujar Lim.

PKPD lebih ketat berbanding PKP kerana pergerakan keluar masuk di kawasan yang dikenakan perintah itu dilarang dan semua aktiviti perniagaan tidak dibenarkan beroperasi.

PKP bagaimanapun masih membenarkan aktiviti ekonomi yang tersenarai sebagai perkhidmatan penting dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

PKPD bertujuan untuk memudahkan pengesanan awal kes positif di kawasan yang terlibat, sekali gus membendung penularan wabak Covid-19 secepat mungkin.

Lim berpandangan PKP hanya “menangguh” penularan jangkitan sementara program pemberian vaksin dilaksanakan.

PKPD lebih berkesan membendung penularan Covid-19 di Klang yang merupakan bandar pelabuhan dan perindustrian utama negara, kata wakil rakyat dan kumpulan industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

Sembunyi maklumat

Selain itu, PKPD juga akan mengelakkan orang ramai yang dijangkiti Covid-19 menyembunyikan status kesihatan mereka, kata wakil rakyat tempatan.

“Di bawah PKP, kita mungkin selamat untuk tempoh dua minggu tetapi kena semula (jangkitan dan PKP) kerana masalah lain tak selesai.

“Mula-mula sekali kerajaan perlu tahu situasi sebenar kerana masih ramai orang sembunyikan maklumat,” kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kepada The Malaysian Insight.

Senada dengan Santiago, Adun Pandamaran Tony Leong berkata ramai majikan dan pekerja yang menyembunyikan status kesihatan mereka.

“Di Klang, banyak kilang menjalankan ujian saringan sendiri dan saya terima banyak aduan mengenai kes yang tidak dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) Lee Fu Haw ketika dihubungi juga mengesahkan banyak kilang menjalankan ujian saringan Covid-19 sendiri, namun tidak dapat pasti sama ada pekerja yang diuji positif menjalani kuarantin penuh.

Malah kekurangan maklumat yang diperolehi dari kerajaan pusat menyukarkan majlis perbandaran mengambil tindakan proaktif untuk membendung penularan jangkitan di tempat kerja.

Ketika negara mula dilanda pandemik, MPK sukar mendapatkan maklumat dari kerajaan pusat, katanya. Namun dengan usaha berterusan wakil rakyat, laporan diperolehi sekali setiap bulan.

“Mereka (kerajaan pusat) tidak mengemaskini maklumat dengan kerajaan tempatan, jadi sukar bagi kami untuk bertindak pantas,” kata Lee.

Usaha MPK katanya terbatas hanya kepada pemantauan SOP, penguatkuasaan undang-undang dan mengedarkan bantuan.

Dengan adanya maklumat dari kerajaan pusat mengenai kluster tempat kerja, usaha untuk menangani penularan akan lebih berkesan dan cepat, tambah Lee.

“Kerajaan pusat, negeri dan majlis tempatan perlu berganding bahu.”

Beliau seterusnya menggesa Putrajaya berkongsi maklumat dengan kerajaan negeri supaya pandemik berjaya ditangani. – 22 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen