Pemilik kilang proses makanan laut dikompaun langgar SOP 


SEBUAH kilang pemprosesan makanan laut di Jalan Tanjung Piandang - Kuala Kurau di Parit Buntar dikompaun kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata tindakan diambil menerusi operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Unit Pejabat Kesihatan Daerah Kerian dan Majlis Daerah Kerian (MDK) di premis terbabit tengah hari tadi. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi dengan kehadiran pekerja melebihi kapasiti 60 peratus dan melanggar SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis beroperasi lebih 60 peratus pekerja. Pemilik premis dikompaun RM10,000, seorang pengurus sumber manusia dikompaun RM2,000 dan seorang pekerja kilang dikompaun RM1,500 kerana gagal mencatat suhu serta tidak mengimbas MySejahtera,” katanya dalam satu sidang media di Parit Buntar hari ini.

Mazuki berkata kompuan itu dikenakan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan menasihatkan semua premis kilang supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan. – Bernama, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen