2 militan maut dalam insiden berbalas tembak di Pattani 


Pasukan keselamatan melalui imam dan pemimpin tempatan memujuk suspek serah diri tetapi gagal.– Gambar EPA, 21 Jun, 2021.

DUA lelaki yang disyaki anggota militan maut dalam satu insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di Pattani, selatan Thailand hari ini.

Komander Pasukan Petugas Pattani (Commander of the Pattani Task Force) Mej Jen Komkrit Rattanachaya berkata bertindak atas maklumat, pasukan keselamatan mendapat tahu dua anggota militan bersembunyi di sebuah bilik di sebuah pusat peranginan di Daerah Yaring, Pattani.

“Apabila pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan), kedua-dua lelaki yang berada dalam sebuah bilik di pusat peranginan itu mula melepaskan tembakan.

“Beberapa siri berbalas tembakan antara kedua-dua suspek dan pasukan keselamatan berlaku. Pasukan keselamatan melalui imam dan pemimpin tempatan memujuk suspek serah diri tetapi gagal.

“Kejadian itu berlanjutan sehingga kira-kira 10 pagi ini. Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemukan dua mayat dalam pusat peranginan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau menambah bahawa kedua-dua lelaki berumur 29 dan 32 tahun mempunyai beberapa waran tangkap.

“Kami turut menemui dua pucuk pistol dan sebutir bom lontar di tempat kejadian,” katanya. – Bernama, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen