TIGA peniaga ditahan dalam tiga serbuan di premis sekitar Daerah Melaka Tengah kerana disyaki terlibat dalam penganjuran perjudian melibatkan pertaruhan kejohanan bola sepak Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Euro 2020 menerusi Op Soga pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata ketiga-tiga lelaki berusia 33, 47 dan 46 tahun itu masing-masing ditahan di Taman Sutera, Kampung Lapan dan Jalan Tun Sri Lanang di Melaka.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek menganjurkan aktiviti perjudian itu menggunakan telefon pintar dan komputer sebagai medium pertaruhan dengan nilai pertaruhan serendah RM50 setiap perlawanan.
Tangkapan pertama dilakukan pada Jumaat kira-kira pukul 9.10 malam manakala tangkapan kedua dan ketiga dilakukan pada keesokan harinya masing-masing pada pukul 12.10 tengah malam dan pukul 3.30 petang.
Kesemua suspek dipercayai bergiat dalam judi pertaruhan bola sepak sejak hari pertama perlawanan antarabangsa itu berlangsung iaitu pada 11 Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.
Beliau berkata pelbagai peralatan antaranya unit pemprosesan pusat (CPU), papan kekunci, monitor, penghala dan modem wifi serta telefon bimbit disyaki digunakan dalam aktiviti judi bola sepak itu dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya kesemua suspek telah direman sehingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Afzanizar berkata jika sabit kesalahan mereka boleh didenda antara RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.
“Justeru orang ramai diingatkan tidak melibatkan diri dalam aktiviti pertaruhan terutama sepanjang perlawanan UEFA Euro 2020 yang sedang berlangsung,” katanya. – Bernama, 21 Jun, 2021.
Komen