Angka kematian akibat banjir lumpur California meningkat kepada 18 orang 


Pemandangan udara menunjukkan keadaan kawasan perumahan yang musnah akibat banjir lumpur di Santa Barbara, California. Sebanyak 65 buah rumah musnah sama sekali dalam bencana itu. – Gambar EPA, 13 Januari, 2018.

PIHAK berkuasa di selatan California pada Jumaat berkata pihaknya menemui mayat seorang warga emas yang terbunuh akibat banjir lumpur di kawasan itu awal minggu ini menjadikan jumlah kematian akibat bencana itu meningkat kepada 18 orang. 

Lelaki berusia 87 tahun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat di kediamannya,” kata Syerif Santa Barbara, Bill Brown. 

Anggota penyelamat meneruskan operasi mereka dan mencari tujuh lagi mangsa yang dilaporkan masih hilang, termasuk kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, menurut pejabat syerif Santa Barbara. 

Hujan lebat pada Selasa lalu, selepas 10 bulan kemarau, menyebabkan runtuhan dan aliran lumpur memasuki kawasan Montecito. 

65 buah rumah musnah sama sekali, manakala 462 lagi mengalami kerosakan. 

Pada Disember lalu, kebakaran hutan memaksa penduduk di kawasan yang sama meninggalkan kediaman masing-masing, dan banjir lumpur itu berlaku dua minggu selepas mereka kembali ke kediaman masing-masing. 

Kebakaran berkenaan memusnahkan kebanyakan tanaman, menjadi antara punca berlaku banjir lumpur. – AFP, 13 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen