Bukan Umno cuba naikkan suhu politik, kata Shahril Hamdan


Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata sidang Parlimen yang dituntut oleh Umno hanyalah untuk membahaskan keadaan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

UMNO bukan cuba menaikkan suhu politik apabila terus mendesak kerajaan supaya mengadakan sidang Parlimen dengan segera, seperti yang dititah nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong, kata ketua penerangan parti Shahril Hamdan.

Suhu politik sekiranya naik bukan disebabkan oleh Umno tetapi kerajaan Muhyiddin Yassin, yang masih ingkar titah nasihat diraja itu, katanya.

“Soal suhu politik ini saya fikir yang hendak menaikkan suhu politik bukan Umno tetapi (suhu politik naik) kalau kerajaan tidak bertindak sewajarnya, jika kerajaan membawa negara ke kancah krisis perlembagaan (apabila tidak mengadakan sidang Parlimen segera),” katanya kepada Astro Awani.

“Suhu politik itu naik bukan oleh pihak lain tetapi parti yang memimpin kerajaan hari ini. Itu yang sebenarnya isu paling besar,” tambah Shahril.

Menurut Shahril, Umno bukan memilih-milih titah nasihat diraja yang hendak dipatuhinya tetapi menyokong kenyataan sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, minggu lalu.

Shahril mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengenai keputusan Umno menetapkan 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil Parlimen bersidang, sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan tidak perlu berdolak-dalik dengan istilah “secepat mungkin” dan “segera” dalam dua kenyataan media diraja yang dikeluarkan selepas perbincangan khas di Istana Negara minggu lalu.

“Umno berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataannya.

Beliau juga berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk memuktamadkan tindakan selanjutnya sekiranya notis 14 hari itu tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik Umno malam tadi.

Sementara itu, Shahril enggan menjelaskan keputusan lanjut yang akan diambil oleh Umno sekiranya Parlimen tidak juga dipanggil bersidang dalam masa 14 hari seperti yang dituntut oleh partinya.

“Keputusan akan diputuskan oleh MKT Umno. Secara bayangan, mesti ada tindakan dan mesti diputuskan oleh MKT,” katanya.

Beliau juga berkata setakat ini belum ada ketetapan bila mesyuarat MKT Umno akan diadakan untuk membincangkan perkara itu.

Dalam pada itu, Shahril juga berkata sidang Parlimen yang dituntut oleh Umno hanyalah untuk membahaskan keadaan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara bagi memastikan wujud semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Tafsiran tambahan (mengenai niat Umno) saya kira datang daripada paranoia mana-mana pihak,” katanya.

Beberapa pihak mendakwa desakan Parlimen bersidang bertujuan untuk menguji keabsahan kerajaan Muhyiddin yang dipercayai telah hilang majoriti dan sedang menggunakan helah darurat untuk terus mentadbir. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen