6 PPV di Pulau Pinang rancakkan program imunisasi


Pulau Pinang menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ‘outreach’ ke pertubuhan dan lokaliti untuk mendaftarkan penduduk negeri itu sebagai penerima vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

SEBANYAK enam pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Pulau Pinang diluluskan sehingga kini bagi merancakkan lagi proses imunisasi membabitkan sektor industri dan perkilangan di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata PPV berkenaan ialah PPV Bukit Jawi Golf Resort (beroperasi sejak 16 Jun), PPV di Hotel Equatorial (beroperasi pada 28 Jun) dan PPV yang bakal beroperasi membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn Bhd, Jabil Circuits Sdn Bhd, Plexus Manufacturing Sdn Bhd masing-masing di Bayan Lepas dan Inari Amerton Bhd, di Batu Kawan.

“Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chow berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), perebakan jangkitan di tempat kerja masih yang tertinggi iaitu membabitkan 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang; tapak bina (dua); komuniti (dua); pusat tahanan (satu) dan keagamaan (satu).

Sementara itu, Chow berkata kerajaan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ‘outreach’ ke pertubuhan dan lokaliti untuk mendaftarkan penduduk negeri itu sebagai penerima vaksin seteruskan divaksinasi bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Katanya sehingga 20 Jun tahun ini, data JKNPP menunjukkan sebanyak 93 pusat jagaan warga emas dikunjungi di bawah inisiatif tersebut, dan seramai 3,513 penghuni serta penjaga telah menerima suntikan vaksin.

“Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak 101 kilang telah diarah tutup ekoran perebakan jangkitan Covid-19 dalam tempoh Januari hingga 20 Jun tahun ini dengan 45 daripadanya di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut,” katanya. – Bernama, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen