Kerajaan sasar imunisasi 10% penduduk menjelang pertengahan Julai, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Bagi mengimunisasi 10% penduduk atau 3.2 juta orang, KKM memerlukan 10.7 juta dos vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

KERAJAAN mahu mengimunisasi 10% penduduk bagi melawan Covid-19 menjelang pertengahan Julai, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Pada masa ini bagi setiap 100 dos yang kami berikan, 30 adalah dos kedua. Oleh itu, untuk mengimunisasi 10% penduduk atau 3.2 juta orang, kita perlu memberikan kira-kira 10.7 juta dos, dengan mengambil kira nisbah yang saya sebutkan tadi,” katanya dalam sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Kami mensasarkan untuk memberikan 8 juta dos pada Jun dan mudah-mudahan kami akan mencapai 10.7 juta pada pertengahan Julai,” kata Khairy, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ini akan melibatkan peningkatan kapasiti harian kita. Kami rasa mampu mencapai 10.7 juta dos, iaitu 10% penduduk, pada pertengahan Julai. Itulah unjuran kami sekarang,” tambahnya.

Katanya, unjuran itu berdasarkan beberapa faktor termasuk bekalan vaksin dan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Khairy berkata kerajaan masih menunggu jawapan daripada Covax mengenai bekalan vaksin Janssen daripada Johnson & Johnson.

Covax atau platform akses global vaksin Covid-19, diselaraskan oleh Global Alliance for Vaccines and Immunization (GAVI), Coalition for Epidemic Preparedness (CEPI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sementara Unicef adalah rakan utamanya.

“Kita tidak mendapat maklum balas daripada Covax. Kita sudah menggunakan pilihan dalam Covax untuk memilih Johnson & Johnson.

“Namun, Covax belum memberikan Malaysia tarikh penghantaran vaksin Johnson & Johnson,” kata Khairy.

Malaysia menggunakan kemudahan Covax untuk mendapatkan sebahagian vaksin AstraZeneca.

Mengenai vaksin CanSino Biologics, Khairy berkata Putrajaya sedang memuktamadkan jadual penghantaran dengan syarikat yang berpangkalan di China itu. Penghantaran pertama dijangka tiba bulan depan. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen