IRAN pada Sabtu menolak sebarang perubahan perjanjian nuklearnya dengan negara kuasa dunia selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa langkah baharu yang lebih tegas bagi menghidupkan perjanjian itu.
Iran bagaimana pun “tidak akan menerima sebarang perubahan dalam perjanjian itu, kini atau di masa hadapan dan tidak akan membiarkan sebarang isu dikaitkan dengan JCPOA,” kata kementerian luar negara itu dalam satu kenyataan.
Trump sekali lagi mengetepikan sekatan berkaitan nuklear pada Jumaat - yang diperuntukkan setiap beberapa bulan untuk kekal dalam perjanjian - namun menggesa Eropah bekerjasama dengan AS untuk “memperbaiki semula perjanjian itu, atau AS akan tarik diri”.
Katanya, perjanjian baharu itu akan membendung program peluru berpandu Iran termasuk larangan kekal bagi loji nuklear Iran, menghapuskan tarikh tamat tempoh selepas sepuluh tahun.
Namun Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata, perjanjian 2015 tidak boleh dirunding semula.
“JCPOA tidak boleh dirunding semula: berbanding mengulangi retorik, AS sendiri perlu mengikut pematuhan penuh—sama seperti Iran,” kata Zarif menerusi Twitter selepas ucapan Trump.
Kenyataan dari kementeriannya mengkritik sekatan baru mengenai 14 individu yang diumumkan oleh Perbendaharaan AS pada hari Jumaat mengenai isu hak asasi manusia dan program peluru berpandu Iran.
Khususnya, meletakkan ketua kehakiman Ayatollah Sadegh Larijani pada senarai sekatan “melanggar semua garis aturan komuniti antarabangsa..dan kerajaan AS akan bertanggungjawab atas semua akibat dari langkah bermusuhan ini”.
Iran berhujah bahawa sekatan berterusan AS ke atas kawasan bukan nuklear seperti hak asasi manusia dan ujian peluru berpandu telah menghalang Iran secara berkesan dari mendapatkan banyak faedah kewangan yang diharapkan dari perjanjian itu.
Zarif berkata pendirian agresif Trump mengenai perjanjian itu dan Iran pada umumnya juga telah melanggar komitmen untuk “menahan diri dari sebarang dasar yang secara khusus bertujuan untuk secara langsung dan buruk mempengaruhi normalisasi hubungan perdagangan dan ekonomi dengan Iran” dalam perjanjian itu. – AFP, 13 Januari, 2018.
Komen