Indonesia perketatkan lagi sekatan bendung Covid-19, lapor media


Orang ramai beratur sebelum menaiki kereta api di stesen Bogor, Indonesia, dengan melakukan penjarakan sosial bagi memastikan pengekangan Covid-19. – Gambar EPA, 21 Jun, 2020.

INDONESIA memperketatkan lagi sekatan pergerakan membendung penularan Covid-19 selepas trend jangkitan pandemik terus meningkat sejak gelombang baharu susulan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, lapor media di republik itu.

Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartato berkata sekatan itu diperketatkan berkuat kuasa esok sehingga 5 Julai ini melibatkan kawasan zon merah jangkitan, lapor CNN Indonesia.

“Beberapa penguatan pemberlakuan pembatasan kegiatan masyarakat akan dikeluarkan melalui arahan menteri dalam negeri,” katanya, dalam siaran langsung melalui YouTube Sekretariat Presiden, hari ini.

Arahan itu katanya dipersetujui atas arahan Presiden Joko Widodo.

Antara aturan yang diperketatkan termasuk jumlah pekerja yang dibenarkan bertugas di pejabat serta kegiatan keagamaan di rumah ibadat.

Airlangga yang juga ketua jawatankuasa penanganan Covid-19 dan pemulihan ekonomi berkata mulai esok hanya satu daripada empat pekerja dibenarkan bekerja di pejabat di wilayah zon merah, termasuk agensi kerajaan dan kementerian.

Bagi wilayah di luar zon merah, jumlah yang dibenarkan ialah 50% dengan bakinya bekerja di rumah.

Airlangga juga berkata semua pusat perniagaan termasuk pusat beli-belah dan pasar hanya boleh dibuka setakat 8 malam, sementara pengunjung dihadkan hanya satu perempat daripada jumlah sebenar.

Semua restoran dan tempat makan, kafe serta warung kaki lima juga dihadkan waktu perniagaan sehingga 8 malam manakala kebenaran makan di tempat dibenarkan hanya satu perempat daripada ruang.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pihak polis memperketatkan lalu lintas di Jakarta dengan menutup 10 jalan di sekitar bandar raya itu susulan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.

Berdasarkan kes jangkitan baharu semalam, hampir separuh dikesan di Jakarta.

Indonesia mengesan 13,737 kes baharu Covid-19 semalam, iaitu jumlah jangkitan harian tertinggi sejak 30 Januari lalu. Angka korban sebanyak 371 nyawa semalam juga adalah yang tertinggi dalam masa sehari.

Sehingga ini, Indonesia sudah merekodkan hampir 2 juta kes jangkitan Covid-19 dan hampir 55,000 kematian. – 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen