Apa cerita Jendela?


SITUASI terkini serta unjuran negara mendepani impak wabak Covid-19 menuntut prestasi sektor telekomunikasi yang lebih maju. 

Sesi pembelajaran atas talian dan urusniaga ekonomi yang  tertumpu kepada transaksi atas talian menjadi contoh sektor yang bergantung kepada prestasi telekomunikasi negara.

Pada Ogos 2020, kerajaan telah memperkenalkan program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bertumpu kepada penambahbaikan komunikasi digital Malaysia. 

Menerusi Fasa 1 Jendela, sasaran yang diletakkan meliputi menambah baik pencapaian internet di kawasan pinggir bandar, bandar dan luar bandar. Ia juga menyasarkan kenaikan kadar liputan 4G kepada 96.9% dan purata  kelajuan mudah alih internet kepada 35 Mbps.  

Namun, laporan media arus perdana serta media sosial menunjukkan masih wujud ramai rakyat yang terkesan akibat kelemahan sistem internet di Malaysia. Masih ada guru dan murid yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan kewajiban menuntut ilmu. 

Ternyata, aspek ini  menunjukkan kemiskinan dan kesenjangan literasi digital yang dibimbangi dan ketara.  

Selain itu, inisiatif MyDigital yang menetapkan bayaran perkhidmatan kerajaan dibuat tanpa tunai menjelang 2022 juga dijangka menjadi masalah apabila masih ketara isu capaian internet lemah di banyak kawasan.  

Memandangkan Parlimen tidak dibenarkan bersidang, saya mengambil inisiatif menerusi kenyataan media ini menuntut Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia menjelaskan perkembangan usaha di bawah program Jendela untuk setakat ini.

Data dan maklumat ini adalah sangat penting mengambil kira sejumlah besar dana RM 3.2 bilion diperuntukkan bagi inisiatif Jendela ini. – 21 Jun, 2021.

* Syed Ibrahim Syed Noh, ahli Parlimen Ledang merangkap jurucakap telekomunikasi PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen