Seorang maut dilanggar pikap ketika festival LGBTQ di Florida


Seorang lelaki terbunuh dan yang lain cedera dalam kejadian rempuhan trak di sebuah festival LGBTQ pada Sabtu. Kejadian itu berlaku ketika permulaan festival Wilton Manors Stonewall Pride Parade, menyebabkan kekeliruan awal sama ada kemalangan itu sebahagian daripada serangan yang disengajakan.– Gambar AFP, 21 Jun, 2021.

SEORANG lelaki terbunuh dan yang lain cedera dalam apa yang digelar pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Ahad sebagai “kemalangan tragik” di perarakan LGBTQ di Florida, di mana pemandu trak pikap secara tidak sengaja melanggar pejalan kaki.

Kejadian itu berlaku pada Sabtu ketika permulaan festival Wilton Manors Stonewall Pride Parade, sambutan LGBTQ di Fort Lauderdale di selatan AS, menyebabkan kekeliruan awal sama ada kemalangan itu sebahagian daripada serangan yang disengajakan.

Polis Fort Lauderdale pada Ahad mengumumkan pemandu berusia 77 tahun itu adalah peserta dalam sambutan itu yang telah dipilih untuk memandu kenderaan utama kerana “penyakit yang menghalangnya berjalan lama.”

Pikap putih itu mulai bergerak menjelang permulaan perarakan apabila tiba-tiba ia “mempercepat tanpa sengaja, melanggar dua pejalan kaki” sebelum merempuh pagar perniagaan berdekatan, kata polis dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga lelaki itu adalah anggota gay Fort Lauderdale, kata polis, menambah pemandu itu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke pusat perubatan di mana seorangnya kemudian meninggal dunia, menurut kenyataan itu. Selebihnya masih dirawat di hospital tetapi dijangka pulih.

“Hari ini kita sedar kejadian semalam adalah kemalangan tragik, dan bukan tindakan jenayah yang ditujukan kepada sesiapa, atau kumpulan individu,” kata Jabatan Polis Walton Manors dalam satu kenyataan berasingan.

Justin Knight, presiden Lelaki Gay Fort Lauderdale, menyebut kejadian itu sebagai “kemalangan yang tak disangka.”

“Ingatan dan doa kita bersama mereka yang terkena musibah malang yang berlaku ketika Stonewall Pride Parade baru hendak bermula,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Datuk Bandar Fort Lauderdale, Dean Trantalis, yang berada di perbarisan itu, awalnya mengatakan kepada penyiar tempatan beliau menganggap kemalangan itu “disengajakan.”

Selepas kejadian itu, beliau menyebutnya sebagai “serangan pengganas terhadap komuniti LGBT” mendakwa trak itu telah menyasarkan kereta seorang ahli parti Demokrat, Debbie Wasserman Schultz - yang sedang menunggu untuk mengambil bahagian dalam perarakan.

Trantalis menjelaskan pada Ahad dia pada awalnya “takut ia boleh jadi serangan sengaja berdasarkan apa yang saya lihat dari jarak pejalan kaki.”

“Ketika fakta-fakta terus dikumpul, terdapat gambaran mengenai kemalangan,” katanya.

Wasserman Schultz berkata di Twitter, beliau “patah hati” dengan apa yang berlaku.

“Saya sangat terkesan dengan kehilangan satu nyawa,” katanya.

“Kakitangan, sukarelawan dan saya sendiri selamat,” tambahnya.

Jabatan Polis Wilton Manors pada Sabtu malam selepas kemalangan berkata orang awam tidak berada dalam bahaya.

Bulan Jun adalah bulan sambutan Pride, yang memperingati rusuhan Stonewall 1969 dicetuskan oleh polis di sebuah bar gay yang popular di New York. Demonstrasi terbukti menjadi titik tolak dalam perjuangan LGBTQ untuk hak-hak sivil. – AFP, 21 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen