Cari kereta murah dorong sindiket penipuan jualan berleluasa


Angie Tan

Jumlah jualan kenderaan cukup tinggi ketika ini. Pelanggan cenderung mencari kenderaan murah bagi meringankan beban kewangan mereka, kata Naib Presiden Persatuan Perusahaan Penjual Kereta dan Kredit Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Puay Loong. – Gambar EPA, 21 Jun 2021.

MENYAMAR sebagai pelanggan, mendapatkan gambar dan maklumat berkaitan kenderaan dari pengedar kereta yang sah serta menawarkan diskaun harga pada platform dalam talian.

Itu antara taktik yang digunakan sindiket penipuan jualan kereta bagi memperdaya pembeli yang berhasrat mencari kenderaan pada harga murah.

Naib Presiden Persatuan Perusahaan Penjual Kereta dan Kredit Kuala Lumpur dan Selangor, Lee Puay Loong berkata, sindiket penipuan itu mengambil kesempatan susulan peningkatan jualan kenderaan sejak akhir-akhir ini.

Lee berkata, kebimbangan dijangkiti Covid-19 ketika menggunakan pengangkutan awam dan kesan perintah kawalan pergerakan terhadap kewangan mereka, adalah antara punca jualan kereta bertambah baik.

“Jumlah jualan kenderaan cukup tinggi ketika ini. Pelanggan cenderung mencari kenderaan murah bagi meringankan beban kewangan mereka,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Penjualan kenderaan juga dibantu oleh pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan tahun lalu sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi akibat Covid-19. Pengecualian ini dilanjutkan sehingga 30 Jun.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Perusahaan Motor dan Kredit Malaysia Teh Seng Hap berkata beberapa peniaga kereta di Seremban, Negeri Sembilan menjadi sasaran sindiket penipuan ini sejak akhir tahun lalu.

Sidiket berkenaan menyamar sebagai pelanggan dan berjumpa dengan pengedar kereta untuk bertanyakan mengenai proses pembelian.

Mereka mengambil gambar kereta tersebut bagi ‘menunjukkn ahli keluarga mereka’ dan kemudian memuat naik foto tersebut ke media sosial sambil mengaku sebagai jurujual atau pemegang saham syarikat pengedar kereta itu, kata Teh.

“Selepas mengenal pasti pembeli, mereka menyamar menjadi orang tengah dan membawa bakal pembeli berjumpa pengedar untuk melihat kereta bahkan mengujinya.”

Selepas sindiket penipuan itu berjaya memikat pelanggan, mereka memaksa pembeli membayar deposit secepat mungkin dengan alasan untuk mendapatkan harga yang murah.

“Sindiket itu membawa mangsa ke bank untuk mengeluarkan deposit, masih menyamar sebagai orang tengah kepada pengedar kereta. Mereka mengambil wang mangsa, membuat alasan, dan kemudian menghilangkan diri,” katanaya. – 21 Jun, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen