Golongan M40 ubah tabiat berbelanja ketika pandemik, kata persatuan pengguna


Raevathi Supramaniam

Orang ramai lebih berhati-hati untuk berbelanja sepanjang tempoh pandemik berikutan ramai yang pendapatan mereka terjejas akibat sekatan pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

PERINTAH sekatan pergerakan yang berlarutan dan masalah kewangan menjadikan pengguna di Malaysia lebih berhati-hati dalam berbelanja di tengah pandemik Covid-19, kata persatuan pengguna.

Setiausaha Persatuan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia Mohd Shani Abdullah berkata tabiat ini akan melembabkan ekonomi negara.

“Pengguna di kalangan B40, terutama yang memperoleh gaji harian tanpa bantuan kerajaan, telah berjimat cermat sepanjang wabak ini.

“M40 mungkin masih bekerja, tetapi kuasa membeli mereka telah terhakis kerana sekatan pergerakan yang lama. Mereka lebih berhati-hati dengan perbelanjaan kerana keselamatan ekonomi rumah tangga mereka tidak lagi terjamin ketika pandemik,” kata Shani kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata terdapat cara untuk kerajaan membantu isi rumah mendapatkan semula keyakinan kewangan, yang akan membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna.

Ini boleh dilakukan dalam bentuk pelbagai potongan, pengangkutan awam percuma dan pakej Internet tanpa had kerana kebanyakan orang sekarang bekerja dari rumah. Pakej data yang lebih murah atau tanpa had juga secara langsung akan membantu pemandu e-hailing dan pekerja penghantaran dengan pendapatan rendah meraih pendapatan yang lebih banyak.

Malah katanya kerajaan boleh menangguhkan atau menjadualkan semula semua bayaran bil utiliti dan cukai pendapatan. Beliau turut menggesa pelaksanaan moratorium secara automatik kepada semua ansuran pinjaman.

“Ini akan memberi keyakinan kepada pengguna untk merancang perbelanjaan mereka dalam tempoh sukar ini.

“Semua bentuk simpanan kini akan diterjemah kepada perbelanjaan tambahan dalam ekonomi negara dan bertindak sebagai perangsang,” katanya.

Ketika sekatan pergerakan penuh diumumkan berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun, Perdana Mneteri Muhyddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM40 bilion iaitu Pemerkasa Plus bagi menangani impak daripada sekatan pergerakan.

Di bawah pakej ini, RM2.1 bilion akan diagihkan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan, manakala pilihan moratorium pinjaman ditawarkan kepada kumpulan B40 dan mereka yang kehilangan kerja, dan juga kepada usahawan mikro dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak boleh beroperasi ketika sekatan pergerakan.

Sekatan pergerakan kini dilanjutkan dua minggu dan akan berakhir pada 28 Jun.– 21 Jun, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen