Siapa musuh Islam PAS?


MERUJUK kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang bertarikh 19 Jun, berikut pandangan balas Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR.

Pada hemat kami, pandangan beliau agak janggal dan mengelirukan apabila dimulakan dengan memetik hadis yang lari daripada konteks yang ingin disampaikan oleh baginda Rasulullah.

Menurut hadis tersebut, musuh dan lawan yang jelas dimaksudkan adalah mereka yang secara terang-terangan dan berulangkali memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

Siapakah musuh Islam di negara ini yang dimaksudkan oleh presiden PAS tersebut?

Jika benar musuh yang dikatakan bersumberkan hadis berkenaan, maka musuh tersebut wajib diperangi dan nyawanya halal untuk dibunuh seperti layaknya peperangan ke atas golongan yang digelar sebagai “kafir harbi” dengan maksud yang sebenar.

Kita semua seharusnya memahami dengan perspektif yang lebih tepat. Hubungan Muslim dengan bukan Muslim di negara ini bukan semudah melabel semua golongan bukan Islam di Malaysia ini dengan istilah “kafir harbi” dan “kafir zimmi” sahaja. Ia lebih kompleks daripada itu.

Perkara ini dihuraikan dalam fiqh Muawathanah yang bersangkutan dengan kewarganegaraan (muwathinun) dengan lebih mendalam oleh Ahmad al-Raysuni, ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan juga oleh Rached Ghanouchi.

Umat Madinah dibina dengan penuh berhati-hati oleh baginda Rasulullah. Oleh sebab itulah permuafakatan dan persefahaman ditulis dengan jelas dalam sebuah deklarasi yang dikenali sebagai Sahifah Madinah.

Sahifah Madinah dengan jelas menggariskan hak dan tanggungjawab mana-mana individu, keluarga dan kabilah.

Selagi perjanjian ini tidak dinodai dengan pengkhianatan, maka pihak Muslim atau bukan Muslim perlu mengotakan setiap perkara yang dipersetujui.

Jika sebaliknya, maka tindakan tegas akan diambil terhadap pengkhianatan yang dilakukan. Jika perkara ini berlaku, ia bukan sahaja musuh umat Islam, tetapi musuh seluruh umat Madinah.

Justeru, tanpa mengira agama dan keturunan, maka setiap warga Madinah perlu diperlakukan selayaknya, perlu dibela dan mendapat perbicaraan sewajarnya di mahkamah dan dalam segala aspek kehidupan.

Mengambil teladan dari negara Madinah itulah, maka kita mesti melihat perkara ini dari sudut yang betul.

Jika benar ada musuh Islam, maka ia juga adalah musuh negara kerana ia telah merungkai persefahaman seperti yang dipersetujui dalam perlembagaan persekutuan.

Kecuali kita juga tergolong dalam kelompok yang menafikan tanggungjawab kita untuk mengikut lunas-lunas yang terkandung dalam perlembagaan yang sekali gus menjadikan kita sebagai musuh negara.

Jika itulah yang dimaksudkan, maka terlucutlah kelayakan kita sebagai warganegara Malaysia.

Kita boleh memahami, jika yang dimaksudkan adalah musuh politik parti Islam, tetapi bukan musuh Islam. Ia boleh membawa kepada justifikasi darahnya halal ditumpahkan.

Jika inilah fahaman yang didukung, maka ia mirip kepada pemikiran yang melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara.

Jika tidak, ia hanya satu pandangan yang penuh dengan kekeliruan dan hanya bertujuan menakut-nakutkan dengan asas yang masih boleh dibahaskan. – 20 Jun, 2021.

 

* Amidi Abdul Manan, pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen