Perikatan tak layak jadi kerajaan, kata Anwar 


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perikatan Nasional gagal menguruskan krisis Covid-19 yang menjadi sebab mengapa ia tidak layak menjadi kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

KEGAGALAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengekang pandemik Covid-19 menunjukkan ia tidak layak jadi kerajaan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Pentadbiran PN gagal untuk mengekang jangkitan harian virus yang masih tinggi, katanya pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-15, diadakan dalam talian hari ini.

“Walaupun India mencatatkan kes Covid-19 lebih tinggi berbanding kita, kes per juta di Malaysia lebih tinggi berbanding India.

“Ini menunjukkan kegagalan…namun masih ada menteri yang akan katakan ia bukan kegagalan, lebih kepada darurat.

“Tidak kira sama ada ia darurat, apa pun ia masih lagi satu kegagalan. Noktah. Mereka perlu diubah,” kata Anwar.

Ketua pembangkang yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata kerajaan PN nampak kuat namun sebenarnya kekurangan idea.

“Satu demi satu, rakyat, petani, nelayan, pekebun kecil, miskin bandar, masyarakat secara umum dan akhirnya, Raja Melayu, telah menegur mereka atas program vaksinasi, atas kemiskinan, atas penderitaan rakyat dan kestabilan politik,” katanya merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah minggu lalu agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam kenyataan berasingan selepas perbincangan khas minggu lalu, Raja-Raja Melayu bersetuju dengan Agong, juga mengatakan tidak perlu melanjutkan tempoh darurat setelah ia tamat pada 1 Ogos. – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen