Ethiopia hargai sumbangan vaksin China 


Warga Ethiopia mengenakan pelitup muka bagi mengelakkan penularan Covid-19 di Addis Ababa.– Gambar EPA, 20 Jun, 2021.

VAKSIN Covid-19 keluaran Sinopharm yang disumbangkan Persatuan Palang Merah China kepada Ethiopia selamat tiba di Addis Ababa pada Sabtu.

Pada majlis penyerahan sumbangan itu Menteri Kesihatan Ethiopia, Dereje Duguma merakamkan penghargaan kepada China yang sentiasa memberi sokongan kukuh terhadap usaha negaranya membendung wabak.

Beliau yakin, bekalan vaksin yang disalurkan kepada Persatuan Palang Merah Ethiopia itu akan membantu negara ini mengawal penularan wabak dan memulihkan pembangunan sosioekonomi secepat mungkin.

Duta Besar China, Zhao Zhiyuan berkata, selepas tercetusnya pandemik, kedua-dua negara sentiasa saling membantu dan langkah ini sekali gus melambangkan satu kolaborasi yang baik dalam usaha melawan wabak antara China dengan negara Afrika.

China merupakan negara pertama yang menyumbangkan vaksin kepada Ethiopia menerusi saluran dua hala antara kerajaan.

Setakat ini, kerajaan China telah mendermakan sejumlah 500 ribu dos vaksin kepada negara itu.

Menurutnya, 40 ribu daripada 100 ribu dos vaksin yang disumbangkan China kali ini adalah untuk negeri Tigray di utara Ethiopia.

Selain itu, kumpulan pertama bantuan makanan yang dihulurkan kerajaan China kepada Tigray juga dijadual tiba pada Julai. – Bernama, 20 Jun, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen