5 maut sekolah runtuh di Belgium


Raja Philippe mengunjungi lokasi kejadian pada Sabtu dengan ditemani Perdana Menteri Belgia Alexander De Croo.. – Gambar EPA, 20 Jun, 2021.

LIMA pekerja bangunan disahkan meninggal dunia pada Sabtu sehari selepas sebahagian tapak binaan sekolah yang dalam pembinaan runtuh di bandar Antwerp, Belgium.

Dua mayat terakhir dikeluarkan daripada runtuhan pada Sabtu petang, kata pihak bomba Antwerp.

Raja Philippe mengunjungi lokasi kejadian pada Sabtu dengan ditemani Perdana Menteri Belgia Alexander De Croo.

Dua daripada yang terkorban berasal dari Portugal dan Romania, kata polis kepada media tempatan sementara kewarganegaraan seorang lagi pekerja yang maut belum dikenal pasti.

Ketika operasi pencarian tiga mangsa yang masih hilang, pekerja penyelamat memaklumkan mereka mencari dua pekerja Portugal dan seorang warga Rusia.

Sementara itu, sembilan turut cedera dalam kejadian pada petang Jumaat, dengan tiga orang masih dalam rawatan rapi intensif sehari kemudian, tetapi bukan dalam keadaan kritikal, pihak bomba menulis di Twitter.

Oleh kerana sekolah itu masih dalam pembinaan, tiada pelajar terbabit ketika kemalangan itu berlaku.

Punca kejadian tidak diketahui, tetapi semua mangsa adalah subkontraktor firma pembinaan Democo, lapor agensi berita Belga.

“Semua pekerja terkejut,” kata Frederik Bijnens, pengarah urusan Democo, kepada Belga.

“Selepas semua perkhidmatan kecemasan melakukan sebaik mungkin, siasatan menyeluruh akan dimulakan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” tambahnya. – AFP, 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen