866 di ICU, 72 maut akibat Covid-19 hari ini


Noel Achariam

Penggali kubur berpakaian alat pelindung diri sedang menanam mayat mangsa Covid-19 di sebuah tanah perkuburan Islam di Subang Jaya, Selangor. Hari ini Malaysia melaporkan 72 kematian akibat virus itu, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban sebanyak 4,348. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Jun, 2021.

KES Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) kekal tinggi dengan 866 pesakit hari ini, walaupun jumlah kes harian jangkitan turun ke bawah 6,000, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini juga terdapat 441 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes positif Covid-19 hari ini dilaporkan sebanyak 5,911, turun berbanding 6,440 pada semalam.

72 kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 sebanyak 4,348.

Dr Noor Hisham berkata, 72 kematian itu melibatkan 23 kes di Selangor, 15 di Kuala Lumpur, tujuh di Negeri Sembilan, enam di Pahang, lima di Johor dan Sarawak, tiga di Labuan, masing-masing dua di Kelantan dan Pulau Pinang, dan masing-masing satu kematian di Sabah, Perak, Melaka, dan Kedah.

Mangsa paling tua dilaporkan korban akibat Covid-19 hari ini adalah wanita warga tempatan berusia 90 tahun dari Selangor. Mangsa mempunyai tekanan darah tinggi dan disiplidemia.

Mangsa paling muda, lelaki warga asing berusia 33 tahun di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai gejala, dan seorang lelaki warga negara berusia 33 tahun dari Labuan yang mengalami obesiti. – 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen