CHINA bersedia berkolaborasi dengan pelbagai negara untuk eksplorasi alam semesta dan menggunakan ruang angkasa secara damai.
Demikian menurut jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang media di Beijing pada Jumaat.
Sebelum ini, jabatan angkasa lepas dari beberapa negara termasuk Agensi Angkasa Lepas Rusia (Roscosmos), Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) serta Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan China menghantar tiga angkasawan ke modul teras stesen angkasa Tianhe.
Kejayaan itu disifatkan sebagai satu lagi kemajuan signifikan China dalam misi eksplorasi angkasa lepas.
Beliau berkata, kehadiran tiga angkasawan China sebagai penghuni kumpulan pertama modul teras stesen angkasa Tianhe menyingkap fasa baharu dalam misi meneroka ruang angkasa.
Tambah beliau, usaha China dalam membangunkan stesen angkasa lepas akan memberi pengalaman khususnya dari segi teknikal untuk umat manusia meneroka angkasa jauh. – Bernama, 19 Jun, 2021.
Komen