Ulama ultrakonservatif dinamakan presiden baharu Iran


Raisi, 60, akan menggantikan Rouhani pada Ogos ketika Iran berusaha menyelamatkan perjanjian nuklearnya yang kucar-kacir  kerana sekatan Amerika Syarikat yang telah menyebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk. – Gambar EPA, 19 Jun, 2021.

BERTUBI-TUBI ucapan tahniah diberikan kepada ulama ultrasonservatif Iran, Ebrahim Raisi pada Sabtu kerana memenangi pilihan raya presiden sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Tiga calon lain dalam pemilihan presiden baharu Republik Islam itu turut mengucapkan tahniah kepadanya, yang kemenangannya telah dijangka selepas ramai calon telah menarik diri.

Presiden moderat Iran, Hassan Rouhani, tanpa menyebut nama Raisi berkata, rakyat Iran telah memilih presiden baharu dalam pilihan raya semalam.

“Saya ucapkan tahniah kepada rakyat kerana memilih,” kata Rouhani. “Ucapan tahniah rasmi saya akan dibuat nanti, namun kita sudah tahu siapa yang mendapat undi terbanyak dalam pilihan raya ini dan siapa yang telah dilantik oleh rakyat.”

Raisi, 60, akan menggantikan Rouhani pada Ogos ketika Iran berusaha menyelamatkan perjanjian nuklearnya yang kucar-kacir  kerana sekatan Amerika Syarikat yang telah menyebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk.

Raisi, ketua hakim yang berserban hitam sebagai tanda keturunan Nabi Muhammad, dilihat rapat dengan ulama tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khameinei, yang mempunyai kuasa politik tertinggi.

Pengundian pada Jumaat dilanjutkan dua jam kerana ramai yang tidak mengundi dengan peratusan keluar mengundi lebih kurang 50 peratus.

Dua calon lain yang juga ultrakonservatif, Mohsen Rezai dan Amirhossein Ghazizadeh-Hashemi, turut mengucapkan tahniah kepada Raisi.

“Saya ucapkan tahniah… Raisi, yang dipilih oleh rakyat negara ini,” kata Ghazizadeh-Hashemi, seperti dipetik oleh media Iran.

Manakala Rezai melalui Twitter berkata beliau harap Raisi dapat membangunkan “kerajaan yang kuat dan popular untuk selesaikan masalah negara”.

Satu-satunya calon reformis dalam pemilihan itu, bekas gabenor bank pusat, Abdolnasser Hemmati, juga mengucapkan tahniah kepada Raisi. – AFP, 19 Jun, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen