PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim (PPMM) mahu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan status siasatan terbaharu jenayah perang di Palestin.
Melalui surat kepada pendakwa ICC Fatou Bensouda, presiden PPMM Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pada Mei 2018 Palestin telah memohon siasatan dibuat di negara itu sejak 2014 kerana ia berada dalam bidang kuasa ICC.
“Pada Februari 2021, ICC yang dipimpin oleh tiga hakim telah memutuskan ia dapat menjalankan bidang kuasa jenayah di Palestin dan ruang lingkup wilayah Gaza, Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.”
“Pejabat pendakwa telah memulakan siasatan pada Mac tetapi belum ada kenyataan lanjut mengenainya ketika ini,” kata Zainul.
Dalam serangan terbaharu bulan lalu, rejim Israel telah membunuh 254 penduduk Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, dan juga beberapa pejuang, kata pihak berkuasa di sana.
Reaksi balas Palestin telah meragut 12 nyawa di Israel, termasuk seorang kanak-kanak, remaja dan seorang tentera Israel.
Sementara itu, Zainul dalam satu kenyataan berasingan mendesak Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa yang bebas di Palestin.
Beliau juga menyarankan agar misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dibentuk bagi memastikan anggota suruhanjaya siasatan yang dilantik diberi perlindungan dan kerjasama penuh. – 19 Jun, 2021.
Komen