Jangan ditipu Pakatan kali kedua, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Harapan hanya pandai menyalahkan pentadbiran terdahulu setiap kali buat salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

JANGAN ditipu Pakatan Harapan kali kedua sehingga membolehkan mereka kembali berkuasa, kata Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata PH yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kerana janji manis yang diberikan mereka tetapi tidak mampu dipenuhi dalam masa terdekat.

“Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebaik sahaja berkuasa, PH bersubahat dengan pihak yang mempunyai pandangan melampau tentang Islam.

“Lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja,” katanya.

Hadi turut memberi amaran kepada generasi muda supaya tidak mengundi PH pada pilihan raya akan datang serta tidak terpedaya dengan media supaya tidak menyesal di dunia dan akhirat.

Tambahnya lagi, PH juga hanya menyalahkan kerajaan terdahulu Barisan Nasioal apabila disoal tentang kegagalan mereka.

“Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah SAW.”

Tambahnya, Al-Quran sendiri melarang orang Islam supaya bijak berdepan cabaran terutama daripada musuh agama, umat dan negara.

PAS bersekutu dengan Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kedua-duanya sudah memeterai perjanjian kerjasama untuk PRU akan datang. – 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen