PEMUDA Umno hari ini menggesa kepimpinan tertinggi parti mengambil tindakan tegas jika Putrajaya enggan memanggil Parlimen segera bersidang.
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata desakan itu seiring dengan perjuangan Umno untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu, seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti.
Kerajaan Perikatan Nasional katanya, hendaklah mengeluarkan notis panggilan untuk membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat pada 1 Ogos bagi mentaati dan menghormati pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.
“Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan!” kata Asyraf Wajdi dalam kenyataan hari ini.
Selepas mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan ordinan darurat serta pelan pemulihan negara.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang turut berpendapat dewan-dewan undangan negeri juga perlu bersidang segera.
Raja-Raja Melayu juga sependapat tempoh darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.
Persidangan khas Raja-Raja Melayu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap 18 ketua parti politik untuk mendengar pandangan mereka berkenaan isu semasa.
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 11 (1) dan (2) menyebut persidangan pertama setiap persidangan Parlimen yang mula-mula bagi setiap penggal diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua majlis iaitu perdana menteri akan menetapkan mesyuarat berikutnya dengan notis 28 hari.
Peraturan 11(3) pula membenarkan Yang di-Pertua Dewan memutuskan tarikh yang lebih awal bagi faedah orang ramai yang mustahak. Urusan mesyuarat itu bagaimanapun ditentukan oleh perdana menteri.
Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 14 Disember 2020, sementara Dewan Negara pada 28 Disember berikutnya. – 19 Jun, 2021.
Komen