PADA 16 Jun 2021 lalu, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengeluarkan satu dekri bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
Titah YDPA tersebut bagaimanapun menimbulkan satu persoalan undang-undang penting sama ada dalam tempoh darurat, YDPA terikat dengan nasihat perdana menteri termasuk persidangan Parlimen memandangkan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri (PM).
Maka, adakah dekri YDPA ini terikat dengan nasihat PM?
Bagi menjawab persoalan ini, adalah perlu untuk merujuk kepada peruntukan seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 secara ‘in verbatim’ menyatakan:-
“Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.”
Peruntukan ini sangat jelas dan tiada kekaburan (unambiguous) bahawa kuasa mutlak terletak kepada YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. Maka, dekri YDPA ini sah.
Namun, keadaan ini mewujudkan percanggahan undang-undang (legislation) kerana Perlembagaan menyatakan Agong bertindak atas nasihat PM, tetapi Ordinan Darurat memberikan kuasa YDPA untuk memanggil sidang Parlimen.
Maka, apabila berlaku percanggahan di antara peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat, undang-undang manakah yang mengatasi dan terpakai?
Jawapannya adalah Ordinan Darurat mengatasi dan terpakai dan YDPA berkuasa mutlak memanggil sidang Parlimen tanpa terikat dengan nasihat PM berdasarkan peruntukan undang-undang berikut:-
i) Perkara 150 (6) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mana-mana peruntukan dalam Akta Parlimen yang diluluskan sebagai undang-undang darurat tidak dianggap batal walaupun bertentangan dengan Perlembagaan kecuali berkaitan perkara agama, adat istiadat Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan atau bahasa.
ii) Mahkamah Persekutuan dalam kes Eng Keok Cheng v Public Prosecutor memutuskan bahawa Akta Darurat (1964) sah dan mengatasi Perlembagaan.
Di dalam kes ini, tertuduh telah didapati bersalah memiliki senjata api dan dihukum gantung mengikut Akta Darurat (1964).
Hujah bahawa Akta Darurat ini tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan tidak diterima panel hakim Mahkamah Persekutuan, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa semasa darurat apa sahaja undang-undang boleh dibuat walaupun bertentangan dengan Perlembagaan.
Berdasarkan hujah di atas, saya berpendapat bahawa dekri YDPA bahawa Parlimen perlu dipanggil bersidang segera hendaklah dilaksanakan segera oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai badan eksekutif di bawah Ordinan Darurat (2021).
Dekri YDPA bahawa sidang Parlimen dipanggil “segera” jelas dan tidak mempunyai maksud berlainan (unambiguous).
Oleh itu, menurut Peraturan 11 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM sebagai Ketua Majlis Mesyuarat hendaklah memberikan notis penetapan tarikh sidang Parlimen dengan segera, tanpa kelengahan lagi.
Jika tidak, kerajaan PN bukan sahaja dilihat kerajaan gagal, tetapi derhaka kepada dekri YDPA. – 19 Jun, 2021.
* Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen