AS kurangkan tentera, jentera di Timur Tengah


AS mengurangkan kehadiran tenteranya di Timur Tengah ketika pentadbiran Joe Biden sedang berusaha menjalinkan semula hubungan dengan Iran. – Gambar AFP, 19 Jun, 2021.

PENTAGON pada Jumaat berkata ia mengurangkan jumlah tentera dan unit pertahanan udara ditempatkan di Timur Tengah, sekaligus mengesahkan laporan Wall Street Journal yang lapan jentera anti peluru berpandu Patriot dikeluarkan dari rantau itu.

Langkah itu diambil ketika pentadbiran Presiden Joe Biden berusaha mengurangkan ketegangan dengan Iran selepas kekecohan pada 2019 yang menyaksikan pertambahan kehadiran tentera AS di seluruh rantau itu.

Wall Street Journal melaporkan yang jentera anti peluru berpandu Patriot dikeluarkan dari Iraq, Kuwait, Jordan dan Arab Saudi dan sistem pemisahan anti peluru berpandu dikenali sebagai THAAD juga dikeluarkan dari Arab Saudi.

Setiap satu jentera anti peluru berpandu itu memerlukan ratusan anggota tentera dan orang awam untuk mengendalikannya.

Jurucakap Pentagon Komander Jessica McNulty berkata ada unit yang dipindahkan ke negara lain dan ada yang kembali ke AS untuk penyelenggaraan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan angka sebenar yang dipindahkan.

“Keputusan dibuat dengan kerjasama rapat negara dan matlamat jelas untuk mengekalkan keupayaan kita memenuhi komitmen sekuriti,” katanya dalam balasan email.

“Kita terus mengekalkan kedudukan kukuh di rantau itu selaras dengan ancaman yang wujud dan selesa dengan perubahan ini kerana ia tidak memberikan kesan buruk kepada kepentingan pertahanan nasional,” kata McNulty lagi.

“Kita juga mengekalkan fleksibiliti untuk mengerahkan semula tentera ke Timur Tengah bila situasi memerlukan.”

Tentera AS giat memperbaharui kehadirannya di seluruh dunia dengan menarik diri dari Afghanistan dan bersiap sedia berdepan ancaman lebih besar dari China di rantau Asia Pasifik.

Pentagon juga mengurangkan tenteranya di Iraq tahun lepas kepada 2,500 orang yang menyokong tentera Iraq dalam memerangi kumpulan pengganas Negara Islam, IS.

Iran masih dianggap sebagai ancaman utama di Timur Tengah, tetapi pentadbiran Biden dalam rundingan untuk mengembalikan semula perjanjian pembangunan program nuklear dengan Tehran yang boleh menyaksikan sekatan ke negara itu dibatalkan.

“Jabatan Pertahanan menempatkan puluhan ribu tentera di Timur Tengah, sebagai wakil keupayaan tertinggi pertahanan udara dan laut, yang menyokong kepentingan nasional AS dan kerjasama serantau kita,’ kata McNulty. – AFP, 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen