MEXICO terpaksa bermain di tempat sendiri sebanyak dua kali dalam stadium kosong selepas dihukum dan didenda jawatankuasa tatatertib Fifa kerana sorakan homofobik, kata persekutuan bola sepak Mexico pada Jumaat.
“Kami menerima hukuman daripada Fifa kerana sorakan yang kedengaran semasa pusingan kelayakan CONCACAF untuk Sukan Olimpik,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Mexico Yon de Luisa kepada wartawan.
Perlawanan kelayakan itu diadakan Mac lalu di stadium Akron dan Jalisco di Guadalajara, barat Mexico.
Hukuman yang turut melibatkan denda sekitar AS$65,000 itu dikaitkan dengan perlawanan antara Mexico, Republik Dominica dan Amerika Syarikat, kata De Luisa.
Beliau turut menggesa peminat bola sepak Mexico untuk menghentikan sorakan kebencian anti-gay.
“Kita perlu hentikan ini sekarang,” katanya.
“Ini boleh memberi kesan buruk kepada industri bola sepak Mexico. Biar ini jadi hukuman terakhir diberikan Fifa kepada kita.”
Mexico berulang kali dihukum sejak beberapa tahun lepas disebabkan sorakan homofobik dibuat penyokongnya terhadap penjaga gol lawan.
De Luisa berkata sekiranya tabiat anti-gay itu berterusan, Mexico berdepan bahaya disingkirkan daripada kelayakan Piala Dunia 2022 dan hilang peluang sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026. – AFP, 19 Jun, 2021.
Komen