Untung sikit, kos tinggi bebankan peniaga kecil sepanjang PKP


Raevathi Supramaniam

Dianggarkan 50% perniagaan kecil dan korporat akan gulung tikar selepas Julai kerana tidak lagi mampu bertahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

PENJAJA dan peniaga kecil berdepan kesukaran untuk terus beroperasi disebabkan peningkatan harga barangan dan kemeruduman ekonomi, kata persatuan niaga.

Menurut mereka, sekatan masa operasi dan orang ramai tidak keluar rumah kerana bimbangkan jangkitan Covid-19 menyebabkan perniagaan rugi lebih teruk berbanding sekatan pergerakan pertama yang dilaksana tahun lepas.

Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Bumiputera Mohd Baba Kutty berkata pendapatan penjaja terjejas teruk kerana mereka hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam di bawah prosedur operasi standard (SOP) semasa.

“Saya tidak faham bagaimana Majlis Keselamatan Negara (MKN) buat keputusan ini. Apa kriteria yang mereka guna dan apa rasional disebaliknya?

“Sepatutnya mereka benarkan kami buka 6 pagi hingga 8 malam. Sekarang ini kami hanya dibenarkan mula buka 8 pagi, orang pun dah pergi kerja masa itu dan tiada siapa beli makanan pada waktu pagi,” kata Baba Kutty kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, penjaja di pasar basah turut terkesan dengan waktu operasi yang dibenarkan iaitu bermula 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

“Mereka hanya dibenarkan buka sampai 2 petang. Jadi perniagaan lain ambil kesempatan yang pasar basar tak boleh dibuka selepas 2 petang dan buat pasar basah sendiri sebab mereka boleh buka dari pagi sampai ke malam.

“Dalam jangka masa panjang nampaknya penjaja pasar basah pun akan tutup kedai sebab mereka tak ada pelanggan,” katanya.

Baba Kutty juga mendakwa yang pasar segar menjual ikan, daging, sayur dan buah muncul bak cendawan selepas hujan di sepanjang Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur dan mengambil alih perniagaan penjaja yang tidak dibenarkan beroperasi selepas 2 petang.

Walaupun jualan merudum, beliau berkata penjaja tiada pilihan lain selain terus berniaga untuk mencari rezeki.

“Mereka tidak ada cara lain untuk cari duit. Walaupun mereka hanya dapat RM20 sehari, mereka terpaksa buat (berniaga) juga.”

Sektor minuman dan makanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam, tempoh yang dianggap banyak pihak tidak mengambil kira situasi sebenar rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

Harga barangan juga naik sekitar 20% hingga 30%, dakwanya lagi, situasi yang menambah beban penjaja yang sudah sedia terbeban.

“Harga barang di Malaysia dikawal kartel, perniagaan besar memanipulasikan harga. Mereka beri alasan yang harga naik sebab tidak cukup bekalan disebabkan pandemik,” katanya, menambah yang harga ikan sekarang jauh lebih mahal daripada daging.

Baba Kutty juga mengecam kerajaan yang nampaknya tidak mempunyai penasihat berpengalaman dalam isu penjaja dan peniaga kecil.

“Kerajaan macam tidak ada penasihat yang boleh beritahu mereka tentang situasi penjaja sekarang. Walaupun mungkin ada penasihat, dia bukan seorang yang berpengalaman (tentang penjaja dan peniaga kecil), mereka pilih orang politik jadi penasihat, apa yang mereka tahu.”

Wong Teu Hoo, presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura juga bersetuju dengan pandangan Baba Kutty yang waktu operasi perniagaan semasa memberi kesan buruk kepada jualan mereka.

“Disebabkan kami hanya boleh buka pada jam 8 pagi, mereka yang hendak beli makanan sebelum pergi kerja tak boleh beli. Dan pada petang, pelanggan yang mahu bungkus makanan selepas habis kerja tak boleh beli juga kerana kami perlu tutup pada 8 malam.

“Jadi ramai (pemilik kedai kopi) memilih untuk tutup sementara sebab mereka rasa tak berbaloi buka hanya beberapa jam,” katanya.

Wong berharap kerajaan akan memperhebatkan proses vaksinisasi dan mengutamakan barisan hadapan industri minuman dan makanan supaya perniagaan boleh kembali beroperasi seperti biasa.

SOP Mengelirukan

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah pula berkata yang berbanding tahun lepas, perniagaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini lebih teruk terjejas.

“Sejak Disember tahun lepas hingga Februari tahun ini, perniagaan mula elok sedikit, tetapi bermula Mac hingga sekarang, perniagaan makin teruk.

“Sekurang-kurangnya tahun lepas sangat jelas, sekatan pergerakan sepenuhnya, tidak ada perniagaan dibenarkan buka dan moratorium pinjaman pun ada.

“Ini membenarkan peniaga untuk merancang perbelanjaan mereka. (Tetapi) Dengan sekatan kawalan pergerakan sekarang, SOP yang ada mengelirukan. Sekejap mereka kata kami boleh buka, lepas tu kata kami tak boleh buka. Ia menganggu perniagaan,” katanya.

PKP 3.0 dan sekatan pergerakan penuh membebankan ramai penjaja dan peniaga kecil yang bergantung kepada pendapatan harian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

Ridzuan berkata berdasarkan anggarannya, selepas Julai, sekurang-kurangnya 50% perniagaan terpaksa gulung tikar termasuklah syarikat korporat.

“(Walaupun) Peniaga kecil terkesan teruk sekarang sampai duit nak sara keluarga pun terjejas, sampai satu tahap mereka boleh pulih semula.

“Tetapi bila melibatkan perniagaan besar, jika mereka terkesan, akan ambil masa untuk pulih semula,” katanya.

Tambahnya, harga barangan juga naik antara 5% hingga 20%, tetapi orang masih berbelanja.

“Harga barangan terus naik, tetapi orang masih ada kuasa berbelanja. Tetapi berapa lama mereka akan terus ada kuasa membeli? Bila kuasa beli jatuh mendadak, ia akan menyusahkan rakyat dan perniagaan.” – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen