Ada syarikat menipu untuk beroperasi semasa PKP, kata persatuan


Bernard Saw

Perniagaan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

BANYAK perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baru-baru ini didapati melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan mendakwa mereka menjalankan perkhidmatan penting, kata pemain industri.

Syarikat-syarikat yang membuat kesalahan ini juga telah melanggar peraturan lain seperti menambah bilangan tenaga kerja selain tidak mematuhi penjarakan sosial.

Manakala ada juga yang salah faham dengan proses kelulusan dalam talian, malah memohon untuk beroperasi sedangkan perniagaan mereka tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting semasa PKP penuh, kata para pemain industri.

Pada 9 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, daripada 268 perniagaan yang diserbu, 59 kilang diarahkan tutup dan 75 lagi dikompaun kerana melanggar kelulusan untuk beroperasi.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong memberitahu The Malaysian Insight, beberapa syarikat mungkin telah memalsukan maklumat mereka ketika memohon kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS).

“Banyak yang menggunakan kelulusan palsu untuk mengatakan mereka terlibat dalam perkhidmatan ekonomi utama, tetapi itu bukanlah isunya,” kata Chin.

“Lagipun, sistem yang ada menyukarkan pihak berkuasa untuk sahkan kesahihan pernyataan mereka dalam proses permohonan,” kata Chin.

Beliau turut berkata perniagaan-perniagaan itu mungkin tertangkap kerana pendedahan oleh pemberi maklumat, dan kemungkinan besar orang dalam melaporkan kepada pihak berkuasa.

Chin berkata, persatuan itu belum menerima aduan daripada anggotanya mengenai tindakan pihak berkuasa.

“Apabila ada anggota mengadu, dan selalunya mengenai didenda dengan salah, kami akan tolong. Tetapi setakat ini, persatuan kami belum terima pemberitahuan dan aduan daripada anggota.”

Bagaimanapun beliau berkata aduan yang diterima persatuan setakat ini adalah berkaitan proses kelulusan dalam sistem CIMS 3.0 lambat, selain banyak yang mengadu permohonan mereka masih belum selesai sedangkan sudah di penghujung dua minggu pertama PKP penuh.

“Sekarang aduan sedikit,” katanya menambah, sekarang ramai penjawat awam bekerja dari rumah, jadi permohonan berkaitan mungkin tidak akan diluluskan segera. – 19 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen