Serangan siber berskala besar terhadap Poland berasal dari Rusia


Jaroslaw Kaczynski pemimpin parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS) berkata hasil risikan dan analisis menunjukkan serangan siber itu berasal dari wilayah di Rusia. – Gambar AFP, 18 Jun, 2021.

SERANGAN siber berskala besar baru-baru ini yang menyasarkan ahli politik terkemuka Poland dilancarkan dari Rusia, kata Jaroslaw Kaczynski, pemimpin parti haluan kanan Poland, pada Jumaat.

“Analisis oleh perkhidmatan kami dan perkhidmatan perisikan sekutu kami membolehkan kami dengan tegas mengatakan serangan siber itu dari wilayah Rusia,” kata Kaczynski dalam satu kenyataan.

“Pegawai tertinggi Poland, menteri, ahli Parlimen dari pelbagai cabang politik menjadi sasaran serangan siber,” tambahnya.

Ahli Parlimen negara-negara Kesatuan Eropah (EU) mengadakan sesi tertutup pada Rabu untuk membincangkan apa yang disebut oleh jurucakap kerajaan Piotr Muller sebagai serangan siber yang “belum pernah terjadi sebelum ini.”

Minggu lalu, akaun e-mel peribadi ketua vaksinasi Poland, Michal Dworczyk telah digodam.

Sebahagian e-mel itu kemudiannya dikongsikan di Telegram.

Dworczyk menafikan laporan media tempatan peti masuknya mengandungi dokumen rahsia, berkata beberapa maklumat dan e-mel yang dikeluarkan adalah palsu.

“Sintaks dan bahasa dalam mesej, serta metadata fail yang diterbitkan menunjukkan bahan ini mungkin telah disiapkan dan disusun oleh penutur bahasa Rusia,” katanya minggu lalu.

Kaczynski, yang merupakan pemimpin parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS), berkata tujuan serangan siber adalah untuk “menggangu negara kita.”

Ketegangan meletus antara Poland dan Rusia mengenai beberapa isu, termasuk campur tangan Moscow ke atas Crimea 2014 dan sokongan kepada orang kuat Belarus Alexander Lukashenko. – AFP, 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen