PENGUSAHA pelancongan telah mengambil peranan baharu sementara menunggu sektor mereka dibuka iaitu sebagai “duta vaksinasi” bagi menggalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaskin Covid-19.
Mereka yakin semakin ramai rakyat Malaysia diberi vaksin, semakin cepat sektor pelancongan dapat dibuka semula.
“Daripada duduk dan tidak buat apa, lebih baik kami keluar dan bantu negara mencapai sasaran vaksinasi,” kata Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis.
Uzaidi memberitahu The Malaysian Insight lebih baik mereka merana sekarang dan menggalakkan rakyat mendapatkan vaksin daripada berhadapan perintah kawalan pergerakan pergerakan (PKP) lagi.
Katanya mereka faham usaha kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan walaupun industri ini menderita kerana sudah tidak aktif sejak 15 bulan lalu.
“Kita dapat lihat, ini adalah garis masa untuk kita (Pelan Pemulihan Negara). Malah (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) Nancy Shukri telah menunjukkan kita boleh buka pasaran domestik pada Oktober, itulah sasaran berdasarkan tiga barometer.
“Kami tak dapat tolong kurangkan jumlah kes atau katil di unit rawatan rapi (ICU), tapi kami boleh tolong lebih ramai orang daftar dapatkan vaksin.
“Kami ada pasukan sukarelawan di semua tempat untuk dapatkan orang daftar vaksin. Mereka buat lawatan ke rumah, teks dan WhatsApp untuk pastikan keluarga dan rakan mereka mendaftar,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.
Pada Selasa, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara untuk membebaskan negara dari pandemik Covid-19.
Pelan ini akan menyaksikan sektor ekonomi dibuka semula secara berfasa apabila jumlah jangkitan harian menurun, beban sistem penjagaan kesihatan berkurang dan peratusan penduduk yang telah lengkap divaksin meningkat.
Setakat pukul 5 petang semalam, 14,637,437 orang telah mendaftar untuk diberi vaksin.
Seramai 5,330,654 individu telah divaksinasi, di mana 1,520,583 telah menerima dua dos lengkap manakala 3,810,017 telah menerima dos pertama.
Uzaidi berkata pemain industri bertekad Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini adalah yang terakhir. Mereka tidak mahu PKP 4.0 atau PKP 5.0.
Katanya ia memakan masa beberapa tahun untuk sektor pelancongan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik.
“Kita tahu dengan lihat senario ini, untuk kembali ke 2019, akan makan masa beberapa tahun, dari sudut konservatif, 2024. Sementara itu, kita perlu bertahan.”
Menurut data Tourism Malaysia pada 2019, sektor ini menyumbang RM86.14 bilion untuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menyambut lebih 26.1 juta pelancong antarabangsa. – 19 Jun, 2021.
Komen