Pandemik Covid-19 dan silap mata gembala kambing


Hasmi Hashim

KALAU Parlimen masih digantung, angka jangkitan Covid-19 yang diumumkan setiap hari pun sukar dipercayai. Entah iya, entahkan tidak!

Bak kata ramai orang, angka itu tentu sahaja boleh dimanipulasi sesuai dengan kepentingan politik dan naratif parti pemerintah. Kalau ada keperluan angka dinaikkan, maka dinaikkan; kalau perlu diturunkan, maka ia dikurangkan.

Hanya dengan Parlimen yang bersidang, menteri tidak boleh berbohong di Dewan Rakyat. Dia boleh berbohong di luar, tetapi apabila dia berbohong di dewan yang mulia, bapak menteri boleh dikenakan hukuman.

Sangat bahaya sekiranya angka jangkitan tidak telus dan berkemungkinan dimanipulasi. Maknanya jumlah pesakit Covid-19 tidak tepat berbanding realiti di dalam masyarakat.

Bayangkan kalau pesakit dalam masyarakat ada 100 orang, tetapi dikatakan ada 80 orang sahaja; maka 20 orang yang lain akan menyebarkannya untuk menjadikan jumlah jangkitan terus meningkat.

Memang empat-lima hari ini, jumlah jangkitan nampak menurun daripada lebih 9,000 sehari menjadi sekitar 6,000 orang. Di situ pun timbul persoalan lain apabila jumlah saringan juga nampaknya diturunkan daripada lebih 100,000-120,000 sehari kepada sekitar 60,000-70,000 sahaja sehari. Logiknya, apabila saringan dikurangkan, maka memanglah jumlah pesakit juga berkurangan.

Mari kita bandingkan pula dengan jumlah kematian. Meski jumlah pesakit nampaknya menurun, namun jumlah kematian tetap di antara 60 sehingga lebih 100 jiwa sehari.

Ringkasnya, walaupun angka Covid-19 berkemungkinan dimanipulasi, tetapi yang tidak boleh disorok ialah jumlah kematian. Di situlah dapat dilihat bagaimana jumlah pesakit yang kononnya turun, tetapi jumlah kematian tetap kekal tinggi.

Selagi parlimen tidak dibuka, selagi itu juga umum tidak akan mengetahui berapa jumlah bekalan vaksin, berapa yang sudah dicucuk, dan apakah pembahagiannya benar-benar mengikut keperluan kawasan atau cuma sekali lagi hanya sebuah penipuan?

Rakyat kini ibarat “tuan tanah” yang dipaksa dikurung sahaja, sedangkan dia punya sejumlah kambing. Kepercayaan untuk menjaga kambing diberikan kepada pembantunya yang juga gembala.

Setiap hari, hanya gembala yang boleh keluar rumah untuk menjaga kambing. Apabila ditanya, berapa jumlah kambing, apakah ada yang mati atau dimakan harimau, maka gembala akan menjawab mengikut kepentingnya.

“Kalau banyak dimakan harimau, esok saya akan keluar memeriksanya,” kata tuan tanah.

Mendengarkan perkara sebegitu, gembala pun jawab, “jangan bimbang tuan, kambing tuan masih cukup… bahkan ada yang beranak!”

Pada hari lain, apabila ditanya, “berapa jumlah kambing… kalau banyak sudah saya mahu melihat!”

Pada waktu sebegitu, gembala pula akan menjawab, “kambing tuan ada yang mati kena penyakit, elok tuan di rumah sahaja agar tuan juga tidak dihinggapi penyakit sama.”

Sedangkan di ladang, gembala melakukan sesuka hatinya kerana tiada sesiapa yang boleh memeriksa atau “semak-imbang” perbuatannya. Dia menjual apa sahaja yang boleh menguntungkannya sehingga pada akhirnya dia menjadi lebih kaya daripada tuan tanah.

Pada waktu itulah, dia pun membeli seluruh ladang, kambing, bahkan rumah tempat tinggal tuan rumah. Tuan rumah pun dihalau dari situ.

Begitulah keadaannya apabila sistem semak-imbang dimatikan dan rakyat — sebagai “tuan rumah” — dipermainkan untuk terus mempercayai kata-kata kerajaan dan kekal di rumah. Akan lebih mudah dipercayai bulat-bulat apabila kerajaan itu jenis yang boleh baca doa atau rajin ke Tanah Suci mengerjakan umrah.

Kerajaan sebagai “gembala” sedikit sebanyak ‘kantoi’ baru-baru ini apabila Sultan dan Raja Melayu campur tangan.

Kelmarin, hanya apabila Sultan Selangor membangkitkan kebimbangan jumlah vaksin yang rendah, tak semena-mena ‘Menteri Vaksin’ gopoh-gapah menurunkan jumlah vaksin yang bertambah ke Selangor.

Bayangkan kalau hanya netizen yang menyakat di media sosial, atau rakyat merungut di dalam grup-grup WhatsApp, menteri tidak akan peduli. Dia lebih sibuk untuk mendandan dirinya sebagai seorang lelaki agar kelihatan lebih menarik untuk memikat undi.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, banyak pihak turut membangkitkan kemerosotan jumah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Diberitakan banyak syarikat utama tidak mahu lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Mereka lari ke negeri-negeri jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Berbanding ‘menteri kilang’ yang mendakwa dalam sebuah infografik konon FDI Malaysia meningkat 383.4%—hampir 400 peratus! — pada suku pertama 2021, Jabatan Statistik Negara pula melaporkan FDI Malaysia pada 2020 menjunam menjadi 54.8% atau sebanyak RM14.6 bilion sahaja. Sedangkan pada 2019, FDI Malaysia ialah sebanyak RM32.4 bilion.

Lagi pula, jarang sekali FDI dikira dan diumumkan mengikut suku-suku tahun — hanya kerana kononnya mahu menunjukkan peratusan yang tinggi. Selalu FDI dikira mengikut tahunan sepertimana yang dilakukan oleh Jabatan Statistik Negara.

Tidak kurang juga yang tergamam apabila Menteri Besar Kedah turut mengumumkan FDI yang mendadak naik di negeri berkenaan. Apabila disemak, sebenarnya jumlah yang diwar-warkan adalah “jumlah yang diluluskan”; dan bukan jumlah sebenar yang masuk dan menanam dana di sini.

Itu semua permainan angka — realitinya berbeza.

Permainan angka ini samalah macam pengembala kambing yang penuh helah terhadap tuan tanah itu tadi.

Betapa rakyat perlu terus berhati-hati kerana antara strategi gembala ialah memasang penipu di seluruh pelusuk kampung. Dia bukan sahaja tidak mahu tuan rumah tahu yang dia sedang berbuat jahat, tetapi juga tidak mahu penduduk kampung lainnya juga tahu pelannya itu.

Ada penipu yang dia upah untuk menipu, dan ada yang tidak perlu diupah sesen pun, tetapi memang sifatnya suka kepada kononnya ‘kestabilan’ kampung — meski seluruhnya nanti akan tergadai oleh sang gembala yang jelas nyata khianat dan derhaka sifatnya. – 18 Jun, 2021.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen