SINGAPURA mengemaskini rancangan pembukaan semula untuk kegiatan ekonomi dan sosialnya kerana peningkatan berterusan kes jangkitan komuniti baharu dalam negara, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19 hari ini.
Antara lain, aktiviti berisiko tinggi seperti makan di kedai Makanan & Minuman (F&B), sukan dan bersenam di kemudahan tertutup hanya akan dibenarkan dalam saiz kumpulan sehingga dua orang mulai 21 Jun, berbanding lima orang seperti yang diumumkan sebelum ini.
MTF sebelum ini mengumumkan pembukaan semula ke Tahap 3 bermula dengan Tahap 1 pada 14 Jun 2021, dan pembukaan tahap 2 pada 21 Jun, 2021.
Pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong mengatakan Pasukan Petugas memutuskan untuk meneruskan aktiviti yang akan bermula pada Isnin.
“Makan malam masih dibenarkan mulai hari Isnin, tetapi hanya terhad kepada dua orang,” kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu pada sidang media maya.
Gan berkata berdasarkan keadaan dan perkembangan pandemik yang tidak dapat dijangka, MTF akan meningkatkan had kumpulan untuk aktiviti makan di premis dengan aktiviti di tempat tertutup akan dibenarkan kepada lima orang dari pertengahan Julai.
“Ini pendekatan yang lebih berhati-hati untuk meminimumkan risiko lonjakan kes dan pembentukan kelompok besar,” katanya.
MTF juga mengumumkan pendekatan bekerja dari rumah akan tetap dilaksanakan bagi mengawal risiko jangkitan dengan mengurangkan interaksi keseluruhan di tempat kerja, dan di tempat awam termasuk pengangkutan awam.
Sementara itu, mengenai peningkatan penularan strain virus, MTF berkata ia akan menggunakan data TraceTogether (TT) dan SafeEntry (SE) untuk membendung jangkitan melibatkan semua kes bagi mencegah kemunculan kelompok besar.
“Ini memberi lebih keyakinan untuk meneruskan lebih banyak aktiviti sambil mencegah penularan,” kata Gan, sambil menambah “Makluman Kesihatan” menerusi SMS akan dihantar kepada individu, yang telah mengunjungi hotspot pada hari yang sama dengan individu yang dijangkiti, dan mungkin terdedah kepada virus.
Mereka dikehendaki membuat saringan wajib di pusat yang ditetapkan dan menjalani kuarantin sehingga keputusan diperoleh.
Di pusat ujian, mereka akan dibekalkan alat ujian DIY, untuk dilakukan sendiri di rumah untuk hari-hari berikutnya bagi mengesahkan mereka tidak dijangkiti, kata pengerusi bersama.
Setakat tengah hari ini, Kementerian Kesihatan republik (KKM) mengesahkan 14 kes baharu jangkitan Covid-19 jangkitan tempatan dengan 10 dikaitkan dengan kes sebelumnya sementara empat kes yang lain tidak berkait.
Secara keseluruhan, terdapat 16 kes jangkitan baharu Covid-19 di Singapura hari ini termasuk dua kes import, menambah jumlah keseluruhan kepada 62,382. – Bernama, 18 Jun, 2021.
Komen