Ulama ultrakonservatif dijangka menang pilihan raya presiden Iran


Ulama ultrakonservatif Ebrahim Raisi dijangka menang setelah semua pesaing utamanya telah disingkirkan dari pencalonan. – Gambar AFP, 18 Jun, 2021.

RAKYAT Iran pada Jumaat mengundi dalam pilihan raya presiden di mana ulama ultrakonservatif Ebrahim Raisi dijangka menang setelah semua pesaing utamanya telah disingkirkan dari pencalonan.

Setelah kempen piihan raya yang suram, jumlah pengundi dijangka menurun ke tahap terendah di republik Islam yang telah tertekan dengan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat.

Pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, menggesa 60 juta pengundi Iran turun mengundi sebelum peti undi ditutup pada tengah malam.

“Lagi cepat anda jalankan tanggungjawab ini, lagi bagus,” kata Khamenei, 81, menekankan bahawa pengundian “berfungsi untuk membina masa depan” rakyat Iran.

Bagaimanapun semangat itu telah dilemahkan dengan penyingkiran ramai calon presiden selain kemelesetan ekonomi yang telah mengakibatkan inflasi naik dan ramai kehilangan pekerjaan, krisis yang ditambah pula oleh pandemik Covid-19.

“Saya bukan politikus, saya tak tahu apa mengenai politik,” kata mekanik kereta di Tehran, Nasrollah. “Saya tak ada wang. Semua keluarga kini menghadapi masalah ekonomi.

“Macam mana kita boleh pilih orang-orang yang beri masalah ini kepada kita? Itu tidak betul.”

Kumpulan pembangkang Iran di luar negara dan beberapa pembangkang di dalam negara telah mendesak memboikot pilihan raya yang mereka lihat sebagai kemenangan yang telah diatur untuk Raisi, ketua hakim berusia 60 tahun, untuk menguatkan cengkaman ultrakonservatif.

Kelihatan ramai beratur untuk mengundi di sekolah, masjid dan pusat komuniti, ada juga dilihat membawa bendera Iran.

Seorang ibu konservatif datang bersama dua anak lelakinya yang masih muda berpakaian seragam Pengawal Revolusi Islam.

Seorang jururawat bernama Sahebiyan berkata, dia menyokong Raisi kerana janjinya memerangi rasuah selain dia berharap ulama itu akan “memajukan negara… dan menyelamatkan rakyat dari kemelesetan ekonomi, budaya dan sosial”. – AFP, 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen