Istana turunkan hantaran ‘Parlimen perlu bersidang’ di media sosial


Agong selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, mengeluarkan kenyataan berkata Dewan Rakyat perlu bersidang dan membahaskan tentang pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

HANTARAN di Facebook dan Instagram berkenaan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera diturunkan beberapa minit selepas ia disiarkan kerana ia “posting lama”, kata pegawai istana.

Tetapi ramai yang ternampak titah Agong berkenaan sidang Parlimen itu sebelum ia diturunkan kerana mereka sangka ia hantaran baharu. Menerusi hantaran itu, Agong bertitah “Parlimen perlu diadakan secepat mungkin”.

Hantaran itu mencetuskan kekecohan di media social selepas Agong pada Rabu menekankan keperluan untuk Parlimen bersidang.

Agong selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, mengeluarkan kenyataan berkata Dewan Rakyat perlu bersidang dan membahaskan tentang pandemik Covid-19.

Raja-Raja Melayu turut membuat gesaan sama dalam kenyataan yang dikeluarkan berasingan. Mereka berkata darurat juga tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Di bawah Peraturan Mesyuarat 11(1) dan (2), persidangan pertama setiap sesi akan ditetapkan oleh Agong tetapi tarikh persidangan untuk sesi berikutnya akan diputuskan oleh ketua dewan (perdana menteri) dengan notis sekurang-kurangnya 28 hari.

Peraturan Mesyuarat 11(3) membenarkan speaker menetapkan tarikh persidangan lebih awal demi kepentingan awam. Agenda mesyuarat bagaimanapun akan ditetapkan oleh perdana menteri.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing kali terakhir bersidang pada 14 dan 28 Disember. – 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen