KETUA Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Carrie Lam menyatakan wilayah itu kini cukup layak untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menurutnya, sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, RCEP berjaya membawa manfaat kepada 2.2 bilion populasi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) entiti ekonomi anggotanya pula menduduki satu pertiga global.
“Jumlah perdagangan antara Hong Kong dengan 15 anggota RCEP melebihi AS$770 bilion (RM3.2 trilion), dengan menempati 73% perdagangan Hong Kong pada 2020,” katanya ketika berucap pada Forum Kemuncak Usahawan Cina Sedunia 2021 semalam.
Beliau berpendapat penyertaan Hong Kong dalam RCEP mampu membawa banyak kebaikan terhadap ekonomi serantau.
“Hong Kong merupakan sumber pelaburan utama di rantau Asia Pasifik, dan negara anggota RCEP adalah destinasi pelaburan luar bagi Hong Kong yang meliputi lebih 50% pada 2019.
“Selepas menyertai RCEP, Hong Kong dapat menikmati pelbagai langkah memudahkan dan jaminan undang-undang mengikut perjanjian tersebut, sekali gus boleh menarik lebih banyak syarikat Hong Kong melabur di entiti ekonomi anggota RCEP serta mempergiat pembangunan dan pelaburan serantau,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa anggota RCEP mengalu-alukan penyertaan Hong Kong dan pihaknya sedang berhubung dengan RCEP untuk mengadakan rundingan berkaitan seawal mungkin. – Bernama, 18 Jun, 2021.
Komen