Vaksin CanSino dijangka tiba Julai, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Malaysia dijangka terima bekalan vaksin keluaran CanSino Biologics Inc yang berpangkalan di China, pada Julai. – Gambar AFP, 18 Jun, 2021.

MALAYSIA dijangka menerima bekalan vaksin keluaran CanSino Biologics Inc yang berpangkalan di China, pada Julai, kata Khairy Jamaluddin.

“Saya sedang berunding berkenaan jadual penghantaran vaksin itu dengan syarikat CanSino.

“Mungkin kita akan mernima bekalan pertama pada pertengahan Julai dan akan mengagihkannya ke negeri-negeri,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu pada sidang akhbar bersama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Khairy berkata vaksin jenis satu dos itu akan diberikan kepada penduduk kawasan luar bandar.

“Kita akan agihkan vaksin CanSino ke Sabah, Sarawak, Pahang dan negeri yang mempunyai kawasan pedalaman dan luar bandar yang sukar diakses,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan menyusun semula jadual penghantaran vaksin ke negeri Pantai Timur memandangkan musim hujan tidak lama lagi.

“Harapnya kita akan dapat selesaikan sebelum musim hujan. Jika tidak selesai, maka kita akan cari strategi sesuai untuk menghantar vaksin pada musim hujan,” katanya.

Pada 15 Jun, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) beri kelulusan bersyarat untuk CanSino dan vaksin Janssen yang dihasilkan oleh Johnson and Johnson (J&J) bagi kegunaan kecemasan.

Jurucakap J&J memberitahu The Malaysian Insight bekalan vaksin itu akan dihantar menerusi fasiliti Covax.

“Vaksin satu dos J&J diberikan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan oleh DCA Malaysia, bagi membolehkan ia dibekalkan menerusi Covax di Malaysia,” kata jurucakap itu menerusi emel.

Malaysia pada masa ini memberikan vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech, AstraZeneca-Oxford dan Sinovac menerusi program imunisasinya. – 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen