KEENGGANAN Putrajaya memanggil Parlimen bersidang seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu akan mencetus krisis perlembagaan, kata Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata kerajaan Perikatan Nasional harus menghormati pandangan Raja-Raja Melayu dalam usaha mencari jalan keluar daripada pandemik Covid-19.
Kerajaan sepatutnya menggunakan pandangan tersebut sebagai satu peluang untuk melancarkan permulaan baharu dalam perang melawan wabak, tambahnya.
“Rakyat Malaysia tidak mahu berlaku apa juga bentuk krisis perlembagaan,” kata Lim dalam kenyataan, menambah fokus utama badan eksekutif atau perundangan mestilah untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19.
“Ini harus menjadi fokus utama sama ada ia memerlukan masa satu atau dua tahun.”
Selepas mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan ordinan darurat serta pelan pemulihan negara.
Raja-Raja Melayu juga sependapat tempoh darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos ini.
Lim seterusnya berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara langsung di televisyen pada 12 Januari lalu menegaskan perisytiharan darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
“Malangnya, selepas lebih lima bulan jangkitan Covid-19 masih tinggi dan tiada tanda-tanda akan turun dalam masa terdekat. Malah, situasi semakin buruk,” katanya. – 18 Jun, 2021.
Komen