Pembunuh wartawan Mexico dipenjara 32 tahun


Kumpulan wartawan memegang gambar wartawan Mexico Javier Valdez, semasa tunjuk perasaan di Monumen Kemerdekaan di Mexico City, Mexico. – Gambar EPA, 18 Jun, 2021.

SALAH seorang suspek yang membunuh wartawan Mexico Javier Valdez dijatuhkan hukuman penjara 32 tahun tiga bulan semalam, kata pendakwa raya.

Seorang hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap Juan Francisco Picos Berrueta kerana menjadi dalang utama pembunuhan yang berlaku pada Mei 2017, kata pejabat pendakwa raya.

Picos Berrueta, yang dikenali sebagai “El Quillo” dijatuhkan hukuman minggu lalu dan menjalani hukuman penjara sehingga 50 tahun selepas dia menolak untuk mengaku bersalah.

Valdez yang merupakan penyumbang AFP selama satu dekad dan juga koresponden untuk La Jornado terkenal kerana menulis artikel yang mengkritik kumpulan penjenayah kuat seperti kartel dadah Sinaloa.

Tahun lepas, salah seorang ahli keluarga Picos Berrueta, Heriberto Picos Barraza dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan bulan selepas mengaku terlibat dalam pembunuhan berkenaan yang mendatangkan kecaman antarabangsa.

Valdez yang merupakan pengasas bersama akhbar mingguan Riodoce dan penulis sejarah terkenal mengenai perang dadah di Mexico mati ditembak di Culiacan, ibu kota Sinaloa.

Mexico adalah salah satu negara paling banyak mencatatkan kematian melibatkan wartawan dengan lebih 100 wartawan terbunuh sejak 2000. – AFP, 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen