Israel lancar serangan udara di Gaza


Israel berterusan melancarkan serangan udara ke atas Gaza semalam dalam serangan terbaru selepas gencatan senjata berlaku pada 21 Mei yang mengakhiri pertempuran selama 11 hari. – Gambar EPA, 18 Jun, 2021.

PESAWAT perang Israel melancarkan beberapa serangan udara semalam di kawasan milik kumpulan pejuang Palestin Hamas di Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Anadolu, pesawat perang mengebom sebuah kawasan di bandar Beit Lahia dan satu lagi di Khan Yunis.

Kementerian Kesihatan Palestin tidak melaporkan mengenai kecederaan, manakala tentera Israel juga tidak mengeluarkan sebarang komen.

Awal Khamis, Israel menyampaikan mesej kepada Hamas bahawa jika pelancaran belon api dari Semenanjung Gaza tidak dihentikan, tindakan ketenteraan baharu akan dilakukan.

Saluran 13News Israel melaporkan bahawa delegasi Israel yang kini berada di Mesir menghantar mesej itu melalui perkhidmatan perisikan Mesir.

Delegasi dari Majlis Keselamatan Nasional Israel tiba di Kaherah pada Khamis, bagi mengadakan perbincangan mengenai gencatan senjata jangka panjang dengan Hamas di Gaza.

Pada 10 Mei, Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza selama 11 hari dan mengakibatkan kematian dan kecederaan membabitkan ribuan penduduk Palestin. – Bernama, 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen