Kes kematian di luar hospital meningkat, pakar kesihatan beri amaran


Ragananthini Vethasalam

Pada 16 hari pertama bulan Jun sahaja, sebanyak 121 kes BID dilaporkan sementara untuk sepanjang Mei, terdapat 123 kes kematian Covid-19 di luar hospital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021. 

PAKAR perubatan bimbang terhadap peningkatan jumlah kes kematian di luar hospital (Brought in Dead/BID) Covid-19.

Pada 16 hari pertama bulan Jun sahaja, sebanyak 121 kes BID dilaporkan sementara untuk sepanjang Mei, terdapat 123 kes.

Sejak wabak bermula sehingga 16 Jun, terdapat 414 kes BID yang dilaporkan dengan 11 Jun mencatatkan jumlah kes BID tertinggi iaitu 16 kematian.

Sebilangan besar mangsa adalah warga emas yang mempunyai komorbiditi atau sekurang-kurangnya satu penyakit sedia ada.

Angka itu membimbangkan, kata pakar kesihatan sambil menambah bahawa kenaikan kes BID bersamaan dengan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sekiranya semakin kurang orang yang dijangkiti, maka kes BID akan semakin kurang.

“Mana-mana kes BID adalah membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata kematian secara tiba-tiba mungkin berlaku kerana kurangnya kawalan kendiri atau mangsa mungkin tidak mengetahui mereka dijangkiti virus.

Dr Chee menekankan pentingnya pesakit Covid-19 menggunakan oximeter untuk mengukur tahap oksigen mereka semasa kuarantin di rumah.

Beliau berkata orang ramai juga harus segera menjalani saringan Covid-19 jika mempunyai gejala, tidak kira sama ada mereka mempunyai kontak rapat dengan kes positif atau tidak.

Dr Chee berkata kemungkinan mangsa mungkin mengalami simptom tertentu sebelum meninggal dunia akibat Covid-19.

Sebilangan besar kes BID melibatkan mereka yang mempunyai sejarah penyakit atau komorbiditi selain ada juga kes yang tidak diketahui keadaan perubatan dilaporkan.

Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, Kementerian Kesihatan perlu membuat kajian bagi mengetahui sebab sebenar BID.

“Sebilangan besar mempunyai komorbiditi kronik seperti darah tinggi, diabetes, obesiti dan juga merokok,” katanya sambil menambah bahawa trend BID membimbangkan.

Dr Zainal berkata beberapa kes mungkin berlaku kerana varian baharu Covid-19 yang menyebabkan berlakunya banyak kematian.

Beliau berkata ada yang mungkin meninggal dunia akibat Covid-19 kerana lewat menerima rawatan di hospital, apatah lagi mereka mungkin pesakit kategori 3, 4 atau 5.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Satu adalah kes positif tanpa gejala, dua adalah kes positif dengan gejala ringan, tiga adalah kes positif dengan radang paru-paru, empat adalah kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan lima adalah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.  – 18 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen