Cadangan vaksinasi murid kelas peperiksaan dipersetujui, kata menteri


Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata lebih 90,000 guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

CADANGAN Kementerian Pendidikan (KPM) agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksin dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. 

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas.

“Bagi vaksinasi guru, sehingga kini lebih 90,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Radzi turut berkongsi satu video ringkas di mana Khairy memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Khairy berkata demikian dalam forum bertajuk “The Path to Herd Immunity: Up Close with YB Khairy Jamaluddin” anjuran The Oxford & Cambridge Society Malaysia menerusi dalam talian, semalam.

Khairy berkata menurut data yang diterima daripada Kementerian Pendidikan (KPM) terdapat 357,000 pelajar Tingkatan Lima dan 47,000 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima.

“Anak-anak yang menghadapi peperiksaan awam perlu kembali ke sekolah untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Kami bekerjasama dengan KPM untuk memberi tumpuan pada tahun peperiksaan terlebih dahulu untuk memberi inokulasi kepada guru, kakitangan sokongan sekolah serta pelajar tahun peperiksaan,” katanya dalam forum itu.

Forum itu turut dimuat naik di YouTube. – 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen