PELAN pemulihan kebangsaan Putrajaya tidak mempunyai strategi yang jelas untuk melandaikan lengkungan Covid-19 dan mengurangkan jumlah jangkitan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidenya, Prof Dr Subramaniam Muniandy berkata ia memerlukan pelan pemulihan yang selamat dan lestari untuk membuka semula ekonomi tanpa ancaman satu lagi perintah kawalan pergerakan.
“Dalam pelan pemulihannya, ada sasaran untuk mengurangkan kes harian kepada kurang 4,000, 2,000 dan 500 tetapi tidak disebutkan mengenai kadar positif yang disasarkan.
“Kes harian yang berkurangan di bawah 4,000 atau 2,000 hanya memberi sedikit signifikasi jika kadar positifnya tinggi atau di atas 5%. Perlu ada sasaran yang ditetapkan untuk menjalankan saringan komuniti terutama di daerah banyak kes di seluruh negara,” kata Subramaniam dalam satu kenyataan.
Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan, kadar positif negara purata sebanyak 5.67% hingga 7.89% pada bulan ini, melebihi tanda aras 5% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Subramaniam berkata, walaupun vaksinasi menjadi keutamaan, saringan komuniti dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik turut penting terutama dengan peningkatan kes sporadik.
“Kita melihat peningkatan kes sporadik sekarang dan ini adalah petunjuk yang jangkitan itu tersebar luas dalam komuniti. Oleh itu, peningkatan ujian saringan diperlukan untuk mengesan dan pengasingan diri segera.
“Kerajaan harus belajar daripada kesilapan lalu ketika menarik balik sekatan dan membuka sektor terlalu awal tanpa ujian saringan mencukupi bagi Covid-19,” katanya.
Katanya, kerajaan juga gagal menangani pemberian vaksin bagi sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, runcit dan juga pekerja migran tanpa dokumen.
Tiada garis masa ditetapkan bagi 5,000 pengamal perubatan swasta untuk menggandakan kadar vaksinasi semasa.
“Memandangkan bekalan vaksin bertambah baik, pusat vaksinasi perlu memperluaskannya kepada lebih banyak klinik swasta di seluruh negara bagi menjadikan pemberian vaksin lebih senang dan mudah diakses oleh rakyat.”
Beliau menambah yang kerajaan juga gagal menjelaskan maksud “fasa pemulihan” dan bila akan berlaku. – 17 Jun, 2021.
Berita penuh di sini
Komen